Wednesday, April 1, 2009

PENGALAMAN KERJAYA

Saya percaya ramai orang banyak pengalaman kerjayanya sendiri. Ia menjadi suatu kenangan, baik manis ataupun pahit. Terserah kepada masing-masing menilai bentuk kerjaya yang disertainya. Ada yang memang terdesak meneruskan kehidupan, tidak kurang yang sekadar mencari pengalaman, dan ada pula yang bersuka-suka sahaja.

Sekadar mengisi masa ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca semua mengenai pengalaman kerjaya saya. Alhamdulillah, sejak berdikari lepas mengaji di Universiti, tidaklah banyak kerjaya saya. Mungkin sudah tertakdir, saya tidak menceburi banyak bidang kerjaya.

Usai zaman persekolahan, adalah dua tiga tempat saya bekerja. Rasanya tidak perlu dicoretkan dalam tulisan ini kerana ia terlalu kecil menjadi bahan bacaan. Elok rasanya saya memulai pengalaman saya selepas zaman belajar di universiti.

Selepas tamat universiti, saya ditawarkan bekerja terus dengan PAS. Bermula 13 Januari 2003, saya mula berkhidmat dengan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan sebagai setiausaha kerja. Rezeki saya murah di saat itu. Itulah pengalaman pertama kerjaya. Tidaklah sehebat mana jauh sekali nak bercakap soal gaji yang jauh sangat dengan taraf pendidikan. Namun, kerana Allah swt saya terima dengan hati terbuka.

Dua tahun menimba penglalaman, saya dinaikkan pangkat ke Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat. Mulai 15 Jun 2005, saya berkelana ke Dewan Pemuda PAS Pusat. Alhamdulilah, kebajikan disini lebih terbela. Ada elaun tambahan, ada EPF dan sedikit elaun lain. Paling tidak kebajikan kami staf terjaga. Ia berlarutan sehingga kini. 4 Tahun sedar tak-sedar. dari Markaz Taman Melewar sehingga ke Jalan Raja Laut. Alhamdulillah, pendapatan naik setiap tahun. walaupun juah juga nak dibandingkan dengan adik yang baru bekerja setahun, hampir separuh dari gajinya adalah pendapatan penuh saya.

Secara rasminya itulah pekerjaan saya. Tetapi masa berlalu seiring dengan perkembangan diri. keluarga makin bertambah, dan tanggungan juga bertambah. Zaman berkeluarga lebih mencabar dari saat zaman bujang saya.

Saya ada beberapa coretan saya mengenai kerjaya tambahan saya yang lain. Saya pernah bekerja sebagai SUK NGO-Muslim Care. Beberapa bulan bekerja untuk meraih pendapatan tambahan, agak lumayan juga ketika itu. Walaupun tidak sebesar mana, tetapi cukup untuk menampung keperluan.

Di awal perkahwinan, saya cuba-cuba juga mencari pendapatan tambahan. Antaranya yang paling awal ialah menulis buku. Sempat juga saya menterjemahkan dua buah buku karya Harun Yahya, sebelum menarik diri. Entahlah, mungkin tiada rezeki.

Berniaga kecil-kecilan tidak dilupakan. Mungkin agak segan untuk menulis, tetapi sekadar perkongsian, saya nyatakan jua. Menjual roti, menjual buku di mana-mana program, menjual kurma, kacang, kerepek, mengajar tuisyen, mengedar Harakah. Semua pernah saya buat. Memang kadang-kadang rasa malu tetapi demi mencari rezeki sesuap nasi, saya terpaksa tebalkan diri. Kadang-kadang terfikir teman-teman seperjuangan dulu yang kini bekerja senang di sektor kerajaan dan swasta. Pendapatan mereka mencecah dua kali ganda pendapatan saya.

Saya biasa berniaga di mana-mana ceramah yang dianjurkan. Jual Kalender, makanan dan minuman, buku ceramah, VCD Politik dan macam-macam lagi. agaknya kalau nak isi resume boleh penuh juga ruangan tu!

Kadang-kadang ada juga program motivasi yang saya isi. Memang tak pandai berceramah, tetapi beranikan dan tunjuk pandai. Hasilnya jangan ditanya. Mungkin markah corot di antara penceramah jemputan. Masa lapang ada juga saya isikan dengan program motivasi. Seingat saya, mengikut kertas kerja yang dikarang, tidak kurang 15 program saya pernah anjurkan. Pernah juga saya keseorangan jayakan satu-satu program. Kalaulah saya ini jenis berniaga dengan program sebegini, mungkin kaya raya saya kini!

Dalam keadaan begini, dengan profile saya yang tidak dikenali, kadang-kadang ada juga tersesat sekali dua dipanggil berceramah di surau dan masjid. Saya tidak mahu menganggap ini sebagai sumber pendapatan - takut tidak ikhlas, tetapi dalam kesempitan begini ada juga duit-duit untuk biaya minyak buat beberapa minggu. Mungkin rezeki agaknya.

Beberapa bulan kebelakangan ini, saya mendapat ilham menceburi bidang pelaburan. Melabur sedikit-sedikit pada perniagaan kawan-kawan. Hasilnya cukuplah untuk menambah 2-3 ratus sebulan. Saya berazam dengan sedikit modal ini nanti, saya akan kembangkan pelaburan ini, dengan niat untuk membiaya PAS Kawasan dan alumni.

Dalam masa empat tahun usia perkahwinan, dan sekarang dengan dua cahayamata, entah berapa belas jenis pekerjaan yang saya ceburi. Cuma setakat ini belum ada yang di sektor kerajaan mahupun swasta. Kerana prinsip hidup saya untuk infakkan diri pada perjuangan Islam dengan sepenuh masa. Biarpun ada yang menasihati, termasuk ibu bapa saya, saya tekad untuk teruskan kehidupan seperti ini. Bagi saya, apa gunanya hidup bermewahan, kalau diri bakhil untuk infak pada perjuangan.

Cuma saya berasa sedikit terkilan melihat teman-teman yang dulunya berkobar menyatakan kesediaan untuk turut sama berkorban demi perjuangan. Hingga kini bila ditagih, banyak betul alasan. Takpelah, inilah ujian dunia. Saya pun takut mendabik dada, kerana ujian harta melimpah belum terhampar di hadapan.

Semoga coretan ini mendapat respons dari teman-teman. Saya ingin mendengar keluhan dan pengalaman yang lebih jauh mencabar dari apa yang saya nyatakan di sini. Bagaimana dengan anda?

No comments:

Post a Comment