Wednesday, May 20, 2009

ANTARA MEMPERMUDAH ATAU MENGAMBIL MUDAH

Sengaja saya memilih posting dengan tajuk ini bagi menghuraikan permasalahan yang berserabut di sekeliling kita. Ia kecil bagi sesetengah orang, tetapi boleh menyebabkan kerumitan dalam urusan kerja dan kesan yang lebih buruk terhadap rumahtangga, masyarakat dan negara.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Permudahkan, dan jangan mempersulitkan". Ia merujuk kepada mempermudahkan urusan supaya dengannya amal ibadat dapat ditunaikan. Islam mengajar erti mempermudahkan segala sesuatu agar ia mudah dilaksanakan. Solat itu mudah dan perlu dipermudahkan. Dengan pakaian seadanya kita sudah mampu mengerjakan solat di mana-mana. Siapa pun tidak boleh kemukakan alasan dari melaksanakan solat kerana setiap kesukaran ada penyelesaiannya. Kiranya bermusafir, laksanakanlah solat secara jama' qasar. Kalau sakit buatlah sekadar kemampuan - daripada berdiri, duduk, baring sehinggalah kepada kerlipan mata sebagai isyarat solat. Kalau tiada diketemukakan air maka bertayamumlah. Apa lagi alasan bagi muslim daripada menunaikan perintah Allah SWT ini.

Islam juga mengajar jangan terlalu dipayahkan iabadat solat ini. Memang perlu berniat ketika berwuduk tetapi cukup sekadar biasan hati. Saya pernah bertemu dengan seorang yang ditimpa penyakit was-was sehingga lencun tubuhnya ketika hendak berwuduk. Alangkah sukarnya orang ini untuk menyempurnakan wuduk sedangkan Islam tidak pernah mengajar begitu. Ada juga saya bertemu dengan seseorang yang sukar mengangkat takbir ketika takbiratul Ihram untuk solat. Sehinggalah Imam rukuk dan sujud baru dia ini sempurna mengangkat takbir pertama! Alangkah sukarnya dia sedangkan solat itu mudah sahaja.

Mempermudahkan kerja sangat perlu terutama dalam soal berdakwah. Memperleceh dan memberatkan urusan dakwah menyebabkan dakwah terbantut atau terlambat. Ini bukan bermaksud kita mengambil lewa dengan persoalan hukum. Asas hukum perlu dijaga, hanya dari sudut perlaksanaan kecil atau khilaf sahaja diringankan perlaksanaannya. Tidak perlulah saya huraikan satu persatu persoalanm khilaf kerana bukan niat saya membincangkan isu ini. Isu yang besar pada saya sekarang ialah persoalan mempermudah atau mengambil mudah.

Dalam urusan pengurusan atau pentadbiran, mempermudah amat diperlukan tatkala menghadapi kerenah ahli yang pelbagai (dalam konteks organisasi PAS). Kadang-kadang mesyuarat tidak cukup korum akan mempersulit urusan selanjutnya. Kalaulah seseorang yang sangat berpegang pada disiplin organsasi pada ketika ini sudah tentu mesyuarat tidak dapat dijalankan. Begitu juga dengan Mesyuarat Agung atau Muktamar. Kalau diambil kira dengan jumlah keahlian, ahli yang berdaftar sebagai sah syarat mesyuarat agung tersebut, kawasan saya antara yang telah gagal melaksanakan mesyuaratnya. Namun atas dasar kita mempermudahkan urusan, maka perkara ertentu yang penting terpaksa diketepikan hanya semata-mata mahu menjayakan agenda mesyuarat agung. Dan ini pun bukan bermaksud memperleceh undang-undang.

Saya katakan kita perlu patuhi peraturan yang ditetapkan, tetapi bagi mempermudahkan urusan jangan sampai tersulit jadinya, permudahkan ia. Meleraikan kekusutan lebih baik dari terus membiarkan ia tersimpul. Saya pernah bertegang leher dengan seorang pimpinan pertengahan yang begitu bersungguh memegang peraturan dalam mesyuarat agung sehinggakan hampir-hampir mesyuarat agung tersebut berlangsung dalam keadaan layu dan kaku!

Dalam kemudahan komunikasi yang meletus hari ini, sewajarnya kita menggunakan sepenuhnya kemudahan ini bagi mempermudahkan urusan. SMS, MMS, emel, YM dan sebagainya seharusnya boleh menggantikan surat bagi memaklumkan sesuatu atau menyalurkan maklumat penting. Saya terkadang merasa kesal sebilangan orang yang bertegas dengan 'skima' surat sedangkan kesemua alat komunikasi tersedia di depan mata. Ya, sekiranya amat perlu utuslah surat, tetapi dalam banyak keadaan permudahkanlah urusan. Fahamilah situasi dan terimalah arahan melalui saluran mudah yang ada.

Mengambil mudah

Sebaliknya ada juga konotasi yang bunyinya hampir sama, maksudnya berbeza. Mengambil mudah akan membawa padah. Dalam hal ini saya mengaku tidak boleh pergi lebih jauh kerana dalam banyak hal perkara remeh saya alpakan. Saya bukanlah orangnya yang layak menjadi pemimpin yang teliti dan berpegang pada peraturan. Saya adalah saya yang sekadar layak dipimpin dan ditegur selalu.

Mengambil mudah akan sesuatu mirip bersikap sambil lewa. Solat kalau diambil mudah silap gayanya akan terbatal sehingga membawa dosa pula kepada pelakunya. Membaca al Quran kalau tidak kena pada tajwid dan makhrajnya boleh memesongkan maknanya. Memahami Islam mesti pada tempatnya, bukan boleh dikutip di tepi jalan dan dibaca buku di mana-mana. Mendalami ilmu mesti berguru dan berkitab.

Di hadapan Allah tidak ada alasan bagi kita mencari dalih. Mengambil mudah hidup di dunia tanpa teliti (taqwa) akan membinasakan diri. Kita mesti bertegas dan berpandu kepada segala arahan yang telah diberikan. Memang Allah mengharamkan tidak banyak benda, tetapi jangan dilanggar larangan-larangan tersebut. Hidup ada batasan, syarak juga telah membataskan segalanya.

Dalam hal organisasi berjemaah, mengambil mudah sesuatu akan merosakkan jemaah itu. Saya ambil contoh, orang yang bersikap sambil lewa dengan tidak menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya, ia akan membebankan jemaah yang disertainya. Masa telah ditetapkan dan jangan mengambil mudah perkara ini. Kadang-kadang kesian saya dapati teman-teman yang menunggu hampir sejam untuk memulakan mesyuarat hanya kerana menunggu korum yang tidak cukup. Rakannya yang 'ambil mudah' itu dengan selamba tanpa meminta maaf atas kelewatannya.

Temu janji yang ditetapkan jangan diambil mudah untuk dilanggari. Bayangkan betapa bengkaknya hati apabila yang dijanjikan tidak hadir tanpa berita. Sedangkan Nabi SAW menyifatkan orang yang memungkiri janji sebagai munafik. Orang munafik tidak layak dijadikan teman, apatah lagi pemimpin.

Hutang yang ditanggung jangan diambil mudah untuk melunaskannya. Saya sendiri gerun bila memikirkan hutang bertimbun keliling pinggang, takut-takut perjuangan yang didokong menjadi sia-sisa kerana hutang yang tidak dibayar. Ramai mengambil mudah melupakan hutang yang ditanggung sedangkan pemiutang terpaksa menanggung kesusahan hasil pinjaman yang didahulukannya. Di sisi Allah, roh tergantung antara langit dan bumi dek penangan hutang yang gagal dijelaskan.

Dalam urusan pilihanraya, ia benar-benar mencabar jiwa. Pengarah Pilihanraya (peringkat PAS) sebenarnya mereka yang jaguh dalam bidang teknikal. Saya awal-awal angkat tangan dan bendera putih. ia tidak boleh di ambil mudah. Sebagai contoh, kerja-kerja PACA (Polling Agent dan Counting Agent) adalah tentera terakhir di medan pengundian. Gagal mereka boleh dianggap gagallah peperangan itu. Dalam banyak kali pesanan ini, ramai juga yang mengambil mudah dengan tidak mengambil borang 14 (borang penjumlahan undi) yang menyebabkan banyak saluran terpaksa disedekahkan ke pihak lawan. Ia sebenarnya mudah, tetapi diambil mudah oleh kita.

urusan pengangkutan, perayu undi, petugas bangsal panas (sekarang diharamkan), keselamatan dan lain-lain semuanya memainkan peranan penting. Ia menuntut komitmen dan kesabaran tinggi. Suatu pengajaran saya dalam PRK di Bukit Gantang, apabila petugas keselamatan (termasuk saya) mengambil mudah urusan menjaga banner, menyebabkan banner yang digantung semalamannya habis dicuri dan ditebas orang.

Begitulah pentingnya soal bekerja secara serius dalam jemaah, bukan ambil mudah. Memudahkan amat perlu tetapi jangan pula diambil mudah semua perkara. Saya kongsikan buat tatapan pembaca budiman secara praktikal dan pengalaman saya yang sedikit ini. Sebenarnya banyak lagi contoh yang boleh dititipkan tetapi cukup sekadar di atas untuk panduan kita bersama.. Permudahkanlah, tetapi jangan mengambil mudah!