Wednesday, July 15, 2009

MERAIKAN KEPELBAGAIAN (KES 1)

"Suatu masa, sedang kami 4 sahabat bermesyuarat, apabila membincangkan suatu idea, tiba-tiba seorang sahabat saya memekik dan marah. Dia mahu semua yang lain menghormati pandangannya. Kami terpinga-pinga. Saya bertanya sendirian. Bukankah ini mesyuarat, dan bukankah mesyuarat medannya bermuhasabah serta melontarkan pendapat, hatta bertelingkah. Dan apabila selesai mesyuarat bukankah kita perlu berlapang dada dengan keputusan yang telah dibuat?" Saya tertanya dalam hati, salah sayakah ini kalau sekadar berbalah dalam mesyuarat?

Dalam situasi yang lain, juga dalam sebuah mesyuarat, kami sibuk mengeluarkan hujah dan pandangan masing-masing. Tiba-tiba seorang sahabat meninggikan suara dengan hujahnya, seolah-olah dia mahu hujahnya diterima semua. Kami yang lain diam termangu, seakan tidak terdaya mahu bergaduh lama mempertahankan hujah masing-masing.

Dalam hati saya bertanya, "adakah salah saya dan rakan-rakan mengeluarkan hujah dalam perbincangan, dan betul sangatkah sahabat seorang ini sampai sanggup meninggi suara untuk yang lain mendengar dan terima pendapatnya?" Betulkah hujah dia, atau hujah saya yang benar..

Suatu masa, saya cuba mencabar minda dan idea seorang sahabat. Beliau selalu memberikan kritikan dalam pendapatnya, dan pendapatnya selalu diterima kerana kuatnya beliau mengangkat suara.

Saya berhujah dan berdebat, bukan nak mencari pemenang tetapi mahu berhujah supaya kita dilihat sama. Akhirnya kami berbalah dan tiada kesudahan. Beliau tetap mempertahankan hujahnya dan saya sendiri berdegil. Bukan apa, sesekali ingin mencuba kesabaran diri di samping menunjukkan yang saya dan orang lain bukan bodoh seperti disangka.. Akhirnya ia berlalu begitu sahaja dan tiada apa-apa keputusan dicapai.

Dalam isu lain, juga ketika mesyuarat, kami masing-masing mengeluarkan pendapat. Saya memberikan satu pendapat dengan hujah, manakala rakan saya berhujah dan dengan memperlekehkan hujah saya. Akhirnya pendapatnya diterima mesyuarat, dengan sahabat ini masih berterusan memperlekehkan pendapat saya. Dalam hati tidak tertahankan marah kerana diperlekehkan. Saya dan rakan itu mengeluarkan hujah, tetapi yang saya 'angin' kerana dia mengejek saya seolah-olah saya bodoh dan beliau cerdik.

Adab bermesyuarat dalam Islam, apabila pandangan kita didengari, kita mengucap istighfar manakala pandangan kita tidak diterima, kita merasa bersyukur. Kerana kita takut kita menjadi riak, ujub, hasad, takbur dan lain-lain sifat mazmumah. Tetapi banyak yang berlaku sebaliknya. Hilang sudah adab Islam kerana mempertahankan keegoan masing-masing.

Soal memberikan pandangan, sesiapa berhak dan layak memberikan pandangan peribadi masing-masing. Siapa yang boleh berkata hujah siapa yang benar dan siapa yang salah. Yang boleh memberikan penilaian ialah mungkin ketika mesyuarat, ataupun pengerusi mesyuarat, ataupun hujah itu memang bercanggah dengan agama. Tetapi kalau masing-masing memberikan pendapatnya dalam sesuatu isu, kenapa mesti bengkeng mahu mengekalkan hujah masing-masing? Kenapa tidak ada tawadhuk, rasa rendah diri, berlapang dada dalam memberi dan menerima pandangan?

Kesilapan kita masing-masing ialah lupa untuk meraikan kepelbagaian. Perbezaan sudah tentu wujud dengan wujudnya pelbagai kelompok manusia. Kita dilahirkan dengan pelbagai latar belakang, juga dengan pelbagai idea. Takkanlah semua aspek perlu bersamaan dengan kepala akal kita.

Kita juga lupa meletakkan mind set, bahawa bukan semua manusia seperti kita. Ada yang berfikiran kritis, ada yang rigid, ada yang sempoi, ada yang longgar, ada yang cerewet, ada yang tak stabil, dan bermacam kerenah lagi. Soalnya, sejauh mana kita bersedia minda kita untuk meraikan kepelbagaian.

Bukankah elok kita berlapang dada menerima kritikan dan teguran, serta menjadi pendengar yang baik. Manakala dalam berhujah pula sangat baiknya kalau seseorang menghargai orang lain dengan tidak mengguris perasaan orang lain, cakapnya dijaga 'ibarat cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar'. Istilah cakap lepas kerana tidak mahu cakap belakang bagi saya tidak boleh diterima. Berterus terang itu baik, tetapi jangan mengaibkan seseorang. Menjaga lidah dengan bahasa yang lembut itu boleh menjaga keharmonian sebuah persahabatan.

Justeru yang pentingnya, raikanlah kepelbagaian kita. Cumua perlu kita ingat, dalam kepelbagaian itu ada had dan sempadannya. Kita bebas memberikan hujah dan pendapat, tetapi jika sudah putus menjadi ketetapan, maka turutlah dengan penuh relah hati. Seseorang yang menghargai orang lain pasti akan dihargai..