Monday, April 13, 2009

SEGALANYA BERMULA DENGAN USRAH..

Kita sering mendengar kalimat dalam jemaah Islam, Usrah adalah tunjang gerakan Islam. Usrah adalah sendi kekuatan jemaah. Benarkah demikian? Apakah hipotesisnya kita berkata demikian.

Banyak tempat dan organisasi beramal dengan Usrah. Saya sendiri jalani Usrah sejak beberapa lama. Pandangan mata kasar semacam tiada kesan apa pun. PAS menang di beberapa tempat, termasuk di kawsan saya sendiri dengan pengundi yang ramai tanpa usrah pun. Bahkan penggerak PAS di kawasan-kawasan ramainya bukan mereka yang ahli dalam Usrah. Ramai juga yang tidak pernah hadir Usrah. Menang juga PAS.
Jangan terpedaya dengan analogi liar saya di atas. Hakikatnya saya sendiri tidak bersetuju dengan pandangan saya di atas. Saya sebenarnya masih percaya bahawa kemenangan Islam dan PAS di Malaysia ada kaitan dengan Usrah. Tetapi bagaimana?
Memang benar, saya mengakui PAS adalah tunjang kekuatan Islam. Usrah adalah nadi kepada tarbiyah, dan tarbiyah adalah urat yang mengalirkan darah kepada jemaah (PAS). Tanpa tarbiyah kita mirip seperti UMNO atau PKR. Tanpa usrah tiada siapa yang sanggup membanting tulang menggerakkan jemaah secara percuma. Hanya sebabnya ada Usrah. Walaupun yang memenangkan PAS adalah khalayak terbanyak dari kalangan rakyat dan pengundi, tetapi yang menjadi tulang belakang dan tulang depan adalah mereka yang ahli usrah. Percayakah anda?
Saya lalui sendiri perkara ini. Memang didapati penyokong itu ramai, tetapi umpama buih di kala banjir. Mereka hadir dan pergi begitu sahaja. Bila ada program besar datang. Bila diharapkan bantuan mereka tidak hadir. Bila menang sorak dan hadir menghulur bantuan. Bila kalah hilang ghuyup entah ke mana. Puncanya kerana mereka tidak faham. Punca tidak faham kerana tidak hadir usrah. Mereka tidak kenal erti pengorbanan, kesabaran, iltizam, ijtimai’, intima’ wala’, baiah dan pelbagai konsep dalam jemaah.
Dalam kepimpinan pun begitu, Ada yang dipilih dalam mesyuarat Agung atau Muktamar, tetapi kurang faham. Puncanya kerana tidak hadir usrah. Ia seperti kertas. Nampak keras tetapi direndam dalam air lembik. Begitulah umpama mereka yang tidak hadir usrah. Nampak keras berapi-api dalam ucapan. Nampak bersemangat dan jalankan kerja. Tetapi melangkah setahun kemudian, kelibatnya tiada lagi. Kehadirannya corot. Mereka tidak tahan berjemur dengan keringat keletihan lama dalam perjuangan. Mereka tidak sabar dengan lamanya masa untuk menang! Lama kelamaan mereka benar-benar hilang, ditelan arus dunia yang suatu waktu dulu dicemuhnya. Puncanya, kerana tidak hadir usrah.
Saya pernah bertemu dengan organisasi yang mantap. Dilihat jauh begitu gah dan kukuh. Punya ramai ahli. Pemimpinnya pula bukan sebarangan. Tahap ‘silinglah’ kata orang. Ada PHD, ada Ir, ada peguam dan lain-lain. Tetapi tersiratnya mereka berantakan. Bergaduh sesama sendiri. Tuduh menuduh, jatuh menjatuh, hilang wala’ dan thiqah, cantas mencantas, mengadu domba, berebut jawatan, wujudkan kem. Puncanya kerana hilangnya ukhwah dan kasih sayang. Puncanya lagi adalah kerana lama sangat mereka tinggalkan usrah. Usrah menjana ukhwah dan ukhwah mengikat organisasi semantapnya, Inilah yang mereka lupakan.
Saya bertemu juga dengan sebuah organisasi. Tidak terkenal dan agak corot juga. Ahlinya tidaklah hebat. Pemimpinnya pun orang biasa dan kebanyakan. Tetapi tersuratnya mereka sangat menjaga disiplin jemaah. Segalanya dibincang dalam mesyuarat atau usrah. Hal keluarga ppun dibincang dalam usrah. Mereka dilihat sangat tekun dan rajin, ikhlas dan setia, wala’ dan sangat menjaga lidah dan perilaku mereka. Rancangan mereka hebat, dan dilaksanakan dengan penuh cermat, mengikut arahan dan agenda. Rupanya mereka berusrah setiap minggu. Kalau ada yang sakit mereka ziarah. Kalau ada yang kesusahan mereka pakat-pakat kongsi keluar duit membantu. Kalau ada kenduri mereka pakat bergotong-royong. Kalau yang bujang dicarikan jodoh sesama mereka. Hebatnya mereka kerana ukhwah. Hebatnya ukhwah mereka kerana ada usrah. Tanzim mereka diikat kemas. Walaupun mereka tidak dikenali dalam persada politik, hakikatnya mereka bahagia menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah.
Inilah hebatnya yang dinamakan usrah. Walaupun ada yang berkata tidak ada perubahan apa-apa selama bertahun mereka sertai usrah, percayalah sebenarnya telah ada perubahan. Kalau dulu kita tidak faham perjuangan, sedikit sebanyak kita faham erti perjuangan. Kalau dulu kita bersikap individualistik, sekarang dengan usrah kita memikir secara jamaie. Kalau dulu kita kedekut, dengan usrah kita menjadi pemurah. Kalau dulu kita tiada hala tuju, dengan usrah kita punya matlamat. Kalau dulu kita berseorangan, dengan usrah kita ramai sahabat dan keluarga. Kalau dulu kita bergelumang dengan maksiat, dengan usrah kita belajar menjadi taat. Kalau dulu kita tidak peduli soal jamaah, sekarang kita tahu segala masalah dalam jemaah.
Begitulah peranan usrah. Selama bertahun yang beramal dengannya, sebuah kawasan yang kecil dan biasa akan berkembang dengan banyaknya. Boleh dikatakan usrah menjadi sebab pertolongan allah melembutkan hati-hati pengundi. Saya impikan supaya usrah dijadikan batu asas : “segalanya bermula dengan usrah”. Bukannya dijadikan matlamat: ‘ akhirnya kita kembali kepada usrah’.
Kalau segalanya bermula dengan usrah, ertinya setiap sesuatu dirancang di dalam usrah. Ada maslaha dibincang di dalam usrah. Nak berhenti kerja dibincang dalam usrah. Ada masalah kesihatan juga dibincang dalam usrah. Nak merancang aktiviti juga dalam usrah. Segalanya-galanya bermula dengan usrah.
Tetapi sebaliknya, kalau dijadikan tagline : “akhirnya kita kembali kepada Usrah”. Macam merujuk kepada keputus asaan setelah gagal serba-serbi barulah nak mencari usrah. Usrah dijadikan alat setelah gagal atau kalah dalam sesuatu. Ini yang saya tidak mahu berlaku dalam jemaah.
Apapun harapnya biarlah usrah dijadikan asas gerakan Islam. Dan sekali lagi yang saya mahukan adalah... “segalanya bermula dengan usrah”.