Saturday, July 11, 2009

MNYINGKAP KEAGUNGAN ISRA' MI'RAJ

Peristiwa Isra' dan Mi'raj terus menjadi bualan cerita umat Islam saban tahun. Meskipun kisah ini berlaku lebih 1400 tahu lalu, namun ibrah serta pengajarannya terus menjadi inti ceramah dan kuliah di mana-mana. Kisahnya menakjubkan - tiada mana-mana manusia lagi mampu mengulangi apa yang pernah berlaku ke atas Rasulullah SAW, Nabi Yang Mulia, penghulu segala manusia.

Mengapa kita kena mengenang peristiwa agung ini, apakah istimewanya dan apakah kaitannya dengan kita? Jawapannya ia berkait langsung dengan kehidupan kita sebagai mukmin.

Saya paparkan di sini pelbagai pengajaran menarik untuk sama-sama tatapan kita semua.

1. Allah SWT memilih NabiNya yang dimuliakan ke atas seluruh umat manusia untuk didatangkan khas kepadaNya, dalam suasana penuh kedukaan Nabi SAW. Tahun itulah ujian yang sangat berat dan getir yang menimpa perjuangan Nabi Muhammad SAW, apabila dua orang yang menjadi penyokong kuatnya selama ini telah dijemput oleh Allah SWT. Mereka adalah isterinya yang dikasihi, Khadijah r.a. Beliau merupakan seorang wanita hartawan dan sangat disegani oleh penduduk Mekah. Beliaulah penyumbang terbesar perjuangan dakwah Nabi Muhammad saw.

Pamannya, yang juga seorang yang sangat dihormati di bumi Mekah iaitu Abu Talib juga dijemput oleh Allah SWT. Riwayat menyebut beliau mati dalam keadaan tidak beriman kepada Allah SWT. Ini menambah sedih kepada diri Nabi SAW. ABu Talib adalah pelindung selama ini daripada cercaan dan siksaan kaumnya di Makkah.

Tatkala kemuncak kesedihan itu, Nabi SAW ditimpa musibah apabila penduduk Thaif melayan kunjungan dakwah Nabi SAW dengan lontaran batu sehingga berdarah wajah Nabi SAW yang mulia itu. Dengan sayu Nabi terpaksa pulang meninggalkan kota Thoif.

Ketika itu, datanglah kehendak Allah SWT menjemput Nabi SAW kehadiratNya, iaitu peristiwa agung Isra' Mi'raj.

2. Isra' dan Mi'raj adalah pertembungan iman dan kufur. Ternyata selepas pulang dari berpergian Isra' dan Mi'raj ini, ramai dari kalangan para sahabat yang mulai goyah iman mereka. Sementara puak penentang (kafir Quraisy) pula mendapat point jelas menentang dakwah Nabi SAW dengan mendakwa Rasulullah SAW telah hilang kewarasan akalnya. Hanya Abu Bakar dan insan sepertinya yang tetap teguh aqidah mereka mempertahankan kebenaran kisah Nabi SAW diangkat ke langit.

Bayangkan, sehingga kini masih ada manusia yang bersandar kepada logik akal yang ragu terhadap kisah ini dengan mendakwa perjalanan ini hanyalah melalui mimpi Nabi Muhammad saw, bukan melalui realiti. Mereka merasakan tidak logik Nabi SAW diperjalankan dengan tubuh badannya secara sedar!

3. Isra' dan Mi'raj adalah peristiwa pengagungan Nabi Muhammad saw selaku penghulu para Nabi. Ini jelas sebagai pembuktian kepada mana-mana penganut agama Samawi bahawa Nabi Muhammad SAW adalah semulia-mulia makhluk dan Islam adalah hanya agama yang diterima di sisi Allah swt.

4. Diperjalankan Nabi Muhammad saw dengan menyinggah di Masjid Al Aqsa. Ini sebagai tanda bahawa Masjid Al Aqsa memiliki kelebihan dan kesuciannya tersendiri. Andaikata, Nabi Muhammad tidak diperjalankan ke masjid Al Aqsa, sudah pasti umat Islam tidak terasa untuk mempertahankan bumi suci Baitul Maqdis dan Masjid Al Aqsa.

5. Nabi Muhammad SAW menjadi Imam para Nabi dan Rasul. Sedangkan para Nabi dan Rasul telah lebih dahulu menemui Allah SWT. Ini menunjukkan kemuliaan Nabi Muhammad SAW ke atas lain-lain Nabi dan Rasul, juga membenarkan Firman Allah swt dengan kisah Nabi-Nabi terdahulu. Kisah Ghaib iaitu kisah Nabi-Nabi dan Rasul wajib kita percaya kerana Nabi SAW pernah bertemu dengan para Nabi dalam Perjalanan Isra' dan Mi'raj ini.

6. Pelbagai bentuk cerita yang Rasulullah SAW alami sendiri ketika berkelana bersama Buraq. Disinggahinya neraka dan didapati mereka yang tersiksa. Ini menunjukkan benarnya apa yang telah difirmankan dalam Al Qur'an yang Allah SWT berkali-kali mengulangi tentang wujudnya penyiksaan bagi mereka yang derhaka. Sepatutnya, cukuplah kisah Isra' dan Mi'raj sebagai pegangan paling kuat untuk kita memantapkan iman betapa adanya hari kebangkitan, hisab serta penyiksaan di dalam neraka. Kita wajib merasa gentar dengan pelbagai cerita menakutkan di alam neraka seperti dilihat oleh Nabi SAW.

7. Dua pilihan minuman yang dihidangkan untuk Nabi Muhammad saw, arak dan susu. Nabi Muhammad SAW memilih susu. Benarlah kata Jibril, andaikata Nabi Muhammad saw memilih arak, sudah pasti ramai umatnya terpesong. Soalnya, kenapa masih ramai bahkan bertambah ramai umat ISlam kini yang terpesong?

Jawapannya kerana mereka tidak memilih fitrah (naluri asli) dalam diri mereka. Fitrah manusia inginkan kesucian, kebaikan, dan ketaan kepada Allah SWT sedangkan pemesongan dari fitrah ialah melakukan maksiat dan terpesong dari jalan Islam yang sebenar.

8. jin Ifrit mengikut jejak langkah Nabi Muhammad SAW. Mengungkapkan suatu permaslahan iaitu jin dan syaitan akan mengekori ke mana sahaja manusia pergi. Lebih kuat imannya, lebih kuat godaan jin dan syaitan. Oleh itu, perisai terbaik ialah dengan membaca doa, dan doa paling msutajab menghalau jin dan syaitan ini ialah membaca Ayat Qursi. Sedangkan Rasulullah saw mahu dikejar Ifrit, bagaimana pula kita manusia biasa yang terdedah dengan maksiat sehari-hari?

9. Buraq yang menjadi kenderaan Nabi SAW ke langit. Buraq adalah haiwan dari syurga. Langkahannya sangat cepat dan jauh, seperti kerlipan mata manusia, ia mampu untuk melangkah sejauh mata memandang. Para saintis membuat kajian dan terhasillah kini roket yang mampu meluncur terbang tinggi dalam sekelip mata, meskipun tidak selincah Buraq. Zaman Nabi SAW kaum Jahiliyyah membuat analogi, dengan melihat kelengkapan dan kenderaan ketika itu. Wajarkah Nabi SAW boleh naik ke langit dalam keadaan kedua-dua kakinya sendiri tidak terangkat? Ini hujah mereka.

Jawapannya, kalaulah mereka hidup di zaman ini, dimana dengan kecanggihan teknologi manusia mampu terbang (menggunakan pesawat) dan tiba di destinasi yang jauh beribu batu dalam beberapa jam, sudah pasti sedikit sebanyak mereka akan mempercayai kisah perjalanan Isra' dan Mi'raj Nabi SAW.

Manusia hari ini mampu mencipta roket untuk terbang ke angkasa. Ini adalah sedikit dari kecanggihan teknologi kuasa Allah SWT secara langsung yang tiada sebarang masalah mencipta apa sahaja.

Juga menggambarkan bahawa Rasulullah SAW telah mendahului zamannya dalam segala aspek kecanggihan. Justeru atas rasional ini mengapa manusia masih tidak mahu beriman?

10. Rasulullah SAW akhirnya dipertemukan dengan Allah secara langsung. Tidaklah boleh digambarkan bagaimana rupa Allah SWt, Tuhan sekalian manusia ini. Dan arahan langsung dari Allah swt tanpa perantara malaikat (seperti kebiasaannya), ialah perintah melaksanakan solat.

Cuba perhatikan, kenapa perintah ibadah lainnya tidak ada sepayah ini Nabi SAW diarahkan oleh ALLAH SWT? Mengapa Allah swt sendiri menjemput Nabi SAW ke Sidratul Muntaha, dan ke Arasy Allah SWT untuk menitahkan perintah solat?

Ia mempunyai maksud, bahawa perintah solat bukan arahan biasa, ia qat'i. Ia peringkat wajib tidak ada penafian dan alasan. Betapa berat sekalipun, solat adalah wajib didirikan di mana sahaja kita berada. Ketika sakit, sedang musafir, ketika dharurat, ketika maslahat semuanya ada kaifiat dan caranya. ini beerti tidak ada alasan bagi mukmin meninggalkan solat.

Solat adalah ibu segala ibadat. Manakala arak adalah ibu kepada segala maksiat. Tanpa solat, orang Islam dianggap tidak beriman kepada Allah SWT.

11. Terdapat juga bagaimana Nabi SAW bertemu dengan Nabi Musa as dan Nabi Musa as meminta NAbi SAW memohon Allah SWT meringankan perintah solat yang sebanyak 50 kali itu pada aaslnya. Setelah beberapa kali Nabi SAW merayu akhirnya diringankan solat itu sebanyak 5 kali sahaja sehari semalam.

Kalaulah kita beriman kepada Allah swt, kenapakah Rasulullah SAW sanggup turun naik ke Arasy Allah SWt untuk merayu diringankan solat? Ini kerana Nabi SAW sangat kasih kepada umatnya, dan bainda sangat melihat kepada maslahat umatnya. Juga menunjukkan betapa Allah SWt telah bersifat sangat belas kasihan terhadap keupayaan hambaNya.

Solat itu daripada 50 kali kepada 5 kali sehari semalam. Bagaimanakah lagi kita mencipta alasan menjauhi solat?

Ibrah atau pengajaran Isra' dan Mi'raj hakikatnya terlalu banyak untuk diungkapkan. Apa yang penting (selain kerjasama) ialah kita mengambil segala kisah ini sebagai panduan hidup kita. Soalnya, sejauh manakah kita menginsafi serta peka terhadap tarikh bersejarah ini?

Wednesday, July 8, 2009

ALAM SELEPAS MATI TAK KENAL SELEBRITI ATAU POPULARITI

Saya tertarik dengan tajuk dan tulisan seorang penulis yang saya rasa cukup baik untuk dikongsikan bersama. Memang betul berita kematian Raja Pop, Michael Jackson sangat menggemparkan dunia. Bagai satu fenomena, seluruh dunia terkejut dengan kematian mengejut itu. Akhirnya, beliau pergi jua, meninggalkan jutaan harta kekayaannya yang bakal diwarisi. Begitulah kehidupan dunia yang fana ini. Tidak ada apa yang boleh dibanggakan!


Kematian Michael Jackson, Raja Pop dunia diketahui seluruh dunia, hingga penduduk pedalaman di sebuah negara dunia ketiga. Internet menjadi begitu lembab ekoran minat orangramai yang mahu mengikuti berita kematian seorang artis tersohor. Presiden Venezuela, Hugo Chavec sehinggakan mengkritik media yang memberi liputan berlebihan kepada berita kematian tersebut.

Tersohornya Michael Jackson bukan kepalang. Berita kematiannya lebih besar dan lebih dimaklumi dan diambil perhatian dari berita kematian al-Ustaz Fathi Yakan, seorang ahli Parlimen Lubnan dan tokoh gerakan Islam terkenal di peringkat antarabangsa, terutama melalui karya-karyanya yang memberi impak besar kepada gerakan Islam sedunia.

Tetapi sayang Michael, ketersohoran anda, populariti anda, bahkan harta anda sebanyak lebih 500 juta USD itu tidaklah menjamin ‘dunia baru’ anda lebih baik dari dunia seni anda di atas dunia. Keranda anda yang termahal di atas dunia itu pun belum tentu menjamin tempat bersemadi anda yang terhebat di kalangan ‘penduduk barzakh’. Rakan-rakan Hollywood sepersemadian anda juga tidak dapat menjamin apa-apa untuk anda di dunia sebelah sana.

Inilah hakikat yang sering dialpakan oleh orang seperti anda, yang hanya mengejar populariti, mencari glamour, mengumpul harta dunia, dengan meninggalkan bekalan sebenar yang boleh menjamin kehidupan kondusif di alam barzakh itu.

Mujur sahaja anda ada mengucap dua kalimah syahadah (jika benar) yang membantu anda untuk tidak kekal di dalam neraka, jika anda dihumban ke sana nanti. Kalau anda tidak mempunyai kesalahan terhadap manusia, dan dosa anda hanya ‘menyanyi’, tidak mustahil Allah mengampunkan dosa anda itu.

Di Malaysia, artis dan selebriti yang mengucap dua kalimah syahadah juga ramai. Dan ramai juga yang tenggelam dengan dunianya yang tersendiri. Terkadang hanya kerana sanggup mengejar nama dan populariti, segalanya tergadai-aqidah, agama, akhlak dan harga diri. Bagi mereka yang insaf, selebriti dan populariti belum menjamin kebahagiaan hakiki di alam selepas mati.

Monday, July 6, 2009

BERAMALLAH DENGAN TUNTUTAN ISLAM

Bagi seorang yang beriman, sebenarnya ruang untuk memperolehi amalan dan ganjaran yang lumayan tersedia di depan mata. apakah alasannya bagi seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah swt dan hari Kiamat untuk mempersiapkan dirinya dengan amalan kebaikan.

Ramai manusia yang beramal dengan ajaran salah semata-mata untuk melengkapkan kehidupan mereka. Beramal dengan mentera untuk menjadi kuat, cantik, kaya, dan berpengaruh. Ada yang sanggup berbelanja beribu ringgit dan menghabisi kehidupannya semata-mata kerana ingin kepuasan hidup.

Ramai dari kalangan manusia yang beramal di luar ajaran Islam, juga mahu menikmati kehidupan yang diidamkannya. Mereka sanggup belajar ke luar negara mengambil jurusan profesional dan menghabisi kehidupan mereka untuk itu. Lantaran mereka mahu dikenali sebagai golongan profesional yang mengikut arus semasa. Hakikatnya mereka meninggalkan ajaran Islam yang kaya dengan khazanah ilmu dan rahsia yang tidak mungkin terungkapkan. Dengan kesibukan mengurus hidup mereka beralasan tidak mahu beramal dan beribadah. Alangkah ruginya manusia seperti ini!

Sebenarnya ruang beribadah dan beramal di dalam Islam terlalu luas dan terbuka. Hakikatnya syurga Allah swt terbentang luas untuk dimasuki. Hanya manusia yang degil dan tegar menjauhi syurga Allah swt dengan pelbagai alasan kehidupan duniawi.

Realitinya mudah untuk beramal, khususnya dengan al Qur'an. Insyallah sesiapa yang beramal dari ajaran Islam dan tuntutan Al Quran pasti hidupnya terjamin.

Mengambil contoh, bukankah Allah telah menjamin barangsiapa hendak kehidupannya tidak menjadi papa (miskin) selama-lamanya, beramallah dengan membaca sura Al Waqiah setiap malam / hari. Barangsiapa yang mahu dielakkan dari siksa kubur, beramallah dengan membaca surah Al Mulk dan Surah Sajadah setiap malam. barangsiapa yang hendak dimudahkan urusan kehidupan, maka bacalah Surah Yasin setiap hari.

Sesiapa yang mahu menjaga dirinya dan keluarganya dari gangguan syaitan serta sihir, maka eloklah diamalkan membaca ayat Qursi. Beramal dengan zikir seperti yang diajar oleh Imam al Ghazali setiap hari Insyallah ada keberkatannya. Membaca Lailahaillah, akan memberi jaminan di hari akhirat kelak, membaca Subhanallah akan menumbuhkan pokok di syurga, membaca selawat akan memberinya syafaat di hari kiamat, Astaghfirullah akan mengampunkan dosa-dosanya.

Tatkala hari Jumaat, terlalu lumayan ganjaran yang Allah berikan untuk hambaNya. Sibuk sangatkah diri kita untuk beramal dengan secebis doa? Bacalah Selawat seratus kali, insyallah akan diberikan syafaat dan dibalas salam kita dari Allah swt. Bacalah doa tertentu seperti dalam Hadis Nabi saw, Insyaallah hidup akan menjadi senang (kaya).

Kalau terlalu sibuk dan letih bekerja serta tidak mampu mengerjakan Qiyamullail, lakukan sahaja solat sunat Hajat, Taubat dan Witir sejurus sebelum tidur. Beramal secara berterusan menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar disisi Allah. Bukankah Allah mengasihi hamba yang mengingatiNya? Inginkan kesenangan dan kecukupan hidup, beramallah dengan solat sunat Dhuha setiap hari.

Beramallah kita, insyallah akan berjaya. Carilah masa dan ruang di sekeliling kita, laksanakan apa yang diinginkan, mudah-mudahan kehidupan kita lebih berkat. Beramal tidak sepayah mana. Yang pentingnya, kekuatan diri, keyakinan serta disiplin! Insyallah kita pasti boleh.