Monday, April 19, 2010

ANAK-ANAKKU SAYANG

Anak merupakan amanat di tangan kedua orang tuanya. Hatinya yang bersih merupakan permata yang berharga dan bebas dari segala macam ukiran dan gambaran. Disamping amanat dari Allah kepada kita, anak-anak juga merupakan perhiasan kehidupan dunia dan penghibur hati bagi orang-orang tua mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Harta benda anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia..." al-Kahfi:46

Anak-anak adalah buah hidup dan bunga yang harum dari rumah tangga. Harapan dan tujuan yang terakhir dari perkahwinan yang sah, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:

" bau anak itu dari bau syurga."

Mengasihi dan menyayangi anak itu merupakan tabiat bagi setiap kedua orang tua yang pernah melahirkan. Kerana anak-anak itu merupakan buah hati bagi orang tuanya.

" Anak itu membawa kita kepada berlaku kikir, menjadikan kita seorang pengecut, menjadikan kita seorang yang selalu gundah, bahkan menjadikan kita seorang yang tak dapat menambahkan pengetahuan." (Hadis Riwayat Abu Ya'la)

Kerana anak, orang tua menjadi kikir kerana sebahagian hartanya untuk membiayai anak-anaknya.

Kerana anak, orang tuanya menjadi pengecut, kerana tidak berani untuk melakukan pekerjaan yang banyak mengambil risiko, khuatir terhadap anak-anaknya nanti.

Anak itu dalam tempoh 7 tahun dipandang penawar pada pandangan kita, 7 tahun lagi sebagai pelayanmu, dan dalam tempoh 7 tahun lagi sebagai wazir2mu(penolong). Sesudah itu adakalanya menjadi sahabatmu yang karib atau adakalanya musuhmu yang buruk.

Sebagai ibu bapa kita perlu menjaga amanat ini sebaiknya agar mereka(anak-anak) boleh menjadi penolong kita samaada di dunia ini dan hendaknya diakhirat kelak. Pokok pangkalnya kita sebagai ibu bapa perlu berilmu agar dapat membimbing dan mengasuh anak-anak kita menjadi orang yang bertanggungjawap dengan kewajipan sebagai hamba Allah dan berguna kepada orang tuanya.

Sebagai manusia pelbagai dugaan yang akan ditempuhi dalam tempoh membesarkan anak-anak. Sifat kesabaran yang tinggi perlu ada disamping ilmu pengetahuan agar mereka menjadi anak-anak yang disayangi Allah.