Thursday, April 2, 2009

KALAU SAYA MENJADI PENGUASA.....

Dalam menghadapi saat gawat ini, saya terkadang rasa ingin turut sama membisikkan kepada pemimpin dan penguasa tentang keperluan mereka menilai sesuatu berdasarkan kepada kehendak khlaayak terbanyak, iaitu rakyat. Kerana banyak penguasa atau pemimpin yang membuat keputusan mengikut selera mereka sendiri atau menurut pandangan penasihat 25% mereka yang banyaknya tidak menguntungkan rakyat bawahan.

Dalam pada mengelamun, tak semena-mena terlintas idea sebegini. Kalau saya menjadi penguasa apakah yang akan saya lakukan. Kalau anda bagaimana?

Kalau saya adalah penguasa tertinggi negara yang memegang kuasa dan dasar negara, sudah pasti ada beberapa perkara yang saya akan lakukan. Mungkin imaginasi ini lahir di hati rakyat kecil seperti saya, yang saat ini bergelumang bersama umat di bawah ini. Manalah tahu diuji Allah swt saya berada di kalangan pembesar negara juga nanti, mungkin idea lain yang terlintas kala itu.

Saya ingin penguasa itu hidup bersama rakyat. Kerana selama ini belum pernah saya melihat pembesar negara duduk dan hidup bersama rakyat. Kecuali orang seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Abdul Hadi (semasa menjadi MB), dan sekarang Ustaz Azizan Razak. Kesemua ini bertaraf MB sahaja. Saya maksudkan penguasa yang lebih tinggi, mungkin bertaraf PM atau YDP Agung agaknya. Kalau saya menjadi penguasa, saya ingin disebalik kehidupan penuh protokol itu, dalam sehari daripada sebulan, saya ingin bertemu rakyat di kampung-kampung. Tanpa kawalan ketat dan trafik, saya idamkan bertemu dengan penduduk kampung tanpa majlis rasmi, mengguna kereta sendiri, mungkin ditemani 2-3 orang pengiring sudah cukup. Saya ingin mengetuk rumah-rumah orang susah, daif di hujung kampung dan bertanyakan khabar serta memberikan sumbangan peribadi. kalau dapat membelai kepala anak yatim. Kalau boleh saya sendiri ingin mengangkat guni beras dan tepung gandum buat disedekahkan kepada yang susah. Dan saya tidak mahukan publisiti media. Di waktu malam habis penat berpusing mencari mereka yang susah hidupnya, saya ingin bermalam dan iktikaf dalam masjid. Saya fikirkan, selama 29 hari aku bermalam di hotel 5-6 bintang, dihamparkan dengan permaidani merah atau kuning, mengapa dalam sehari aku tidak boleh bersusah payah iktikaf di mana-mana masjid dengan berbantalkan lengan dan dihurungi nyamuk, itulah kehidupan sebenar Rasulullah saw dan Khulafa ar Rasyidin.

Terlintas idea ini kerana saya sering melihat gaya hidup pembesar negara. Tidak ada sedikitpun nilai kesederhanaan, sedangkan duit yang mereka nikmati adalah dengan titik peluh rakyat! Kemudian apabila membuat keputusan, tidak pernah menyebelahi rakyat. Sedangkan saya membaca sirah kehidupan para sahabat, seperti Umar ra yang bangga dengan kemiskinannya, sekalipun beliau adalah khalifah.

Dalam sebulan dua juga saya ingin berkhutbah di masjid, berkuliah di surau dan masjid. Bayangkan, kalau inilah pemimpin negara lakukan sekarang. Bukankah ramai generasi soleh akan dapat dilahirkan kerana pemimpinnya yang soleh itu?

Sehari dalam sebulan saya akan peruntukkan masa untuk bersama masyarakat dan keluarga. Saya sendiri ingin turun ke pasar membeli keperluan harian dengan duit sendiri. Dan saya akan minta isteri memasaknya sendiri untuk makanan sekeluarga. Alangkah indahnya kalau dapat melihat pembesar negara berjalan di pasar tanpa ditemani oleh pengawal peribadi yang ramai dikawal ketat. Alangkah manisnya melihat mereka selamba makan dan berbelanja seperti rakyat tanpa berpura-pura atau berlakon.

Sesekali kalau senang saya ingin membayar sendiri bil bulanan. Beratur panjang di Pejabat pos bersama dengan warga lainnya. Inilah yang pernah dibuat oleh Almarhum Ust Fadhil Noor ketika hayatnya. Beliau sanggup berbaris panjang untuk membayar bil sedangkan beliau mampu untuk mengarahkan petugas lakukan itu untuk beliau.

Dalam urusan rasmi kerajaan, kalau ia melibatkan parti politik maka saya akan mengambil sikap berkecuali. Tetapi saya akan berpihak kepada kebenaran. Kebenaran itu menurut tafsiran saya ialah yang dekat menurut ajaran al Qur'an dan Islam. Kalaulah ada pertikaian melibatkan kerajaan seperti perlantikan pembesar negeri, maka saya utamakan perlembagaan dan undang-undang. Maka di manakah yang paling dekat dengan Islam serta menurut keadilan itulah yang akan saya turut. Sekalipun nanti saya akan dimusuhi dan dibenci. Saya sedaya upayanya menjauhi kezaliman. Sekalipun saya mungkin ditawarkan berjuta ringgit dan menjadi popular hasil kekejaman yang saya lakukan itu. Insyaallah, saya ingin bersama golongan yang benar dan memperjuangkan kebenaran.

Kalaulah ditakdirkan saya sebagai kata pemutus dalam perlantikan ketua Kerajaan negara (PM), saya ingin merujuk kepada pandangan ulama' dan kehendak rakyat terlebih dahulu. Saya sesekali idamkan penguasa yang celik terhadap perkembangan semasa. Kalaulah penguasa yang bakal terpilih itu mempunyai rekod yang tidak baik, saya bertegas menolaknya walaupun mungkin selepas itu saya sendiri akan terbuang. Sebaliknya jika yang dicalonkan itu sangat baik, taqwa dan dihormati maka saya akan menerimanya dengan baik. Biarpun mungkin calon itu tidak saya sukai secara peribadi.

Kalaulah saya diberi kuasa pengampunan (sedangkan tidak ada nas yang menyatakan raja boleh mengampunkan dosa orang lain), maka saya akan sendiri melawat ke penjara dan merujuk kepada mana-mana kes yang boleh diselesaikan. Saya akan maafkan mereka yang diragukan kesalahannya. Insyaallah, saya ingin didoakan kebaikan selalu serta mendoakan kebaikan mereka yang tertindas.

Dalam ketika itu nanti, saya akan mengharamkan kebatilan. Mereka yang dizalimi dan ditangkap tanpa perbicaraan saya ingin mereka dilepaskan. Kalau benar mereka bersalah, hakimi mereka di mahkamah terbuka. Saya tidak akan benarkan lagi pemenjaraan tanpa perbicaraan.

Dalam urusan penganugerahan pingat, saya ingin merujuk kepada mereka yang benar-benar layak untuk dianugerahkan. Walaupun hakikatnya saya sendiri tidka berminat dengan majlis ini. Kalau boleh hapus, saya ingin ia dihapuskan. Majlis tarikh lahir saya tidak perlu dikenang dan dihabiskan wang rakyat untuk menyambutnya, cukup sekadar doa selamat dengan biaya saya sendiri.

Tetapi kalau ia tidak boleh dielakkan, maka majlis itu nanti saya ingin ia dipenuhi dengan rasa kesyukuran dan kehambaan. Anugerah pingat mungkin hanya diberi kepada mereka yang benar-benar berjasa. Saya akan kurangkan kepada pemimpin politik, tetapi melebihkan kepada pejuang Islam dan ulama' terlebih dahulu, kemudian tokoh pendidikan, dan lain-lain tokoh.

Saya inginkan budaya ilmu diterapkan. Masjid-masjid, pejabat kerajaan bahkan di kediaman saya nanti saya akan suburkan dengan pengisian ilmu. Kalau sempat, saya sendiri ingin mengisi slot pengisian itu. Saya juga ingin turut serta bersama masyarakat mencintai ilmu duduk berasak mencari keberkatan ilmu.

Saya tidak mahukan kemewahan. Kenderaan rasmi hanya digunakan pada majlis rasmi sahaja. Penginapan digunakan hanya untuk program rasmi juga. Selebihnya saya akan duduk di rumah sendiri, kalau tiada sekitarnya saya akan menyewa. Kenderaan sendiri saya akan gunakan pada mana-mana majlis yang bukan rasmi. Apa yang saya nak buktikan? bahawa jawatan ini bukanlah untuk kemewahan dan kemegahan. Ia untuk dilaksanakan.

Tidak akan ada lagi acara hiburan atau perayaan secara bermewah-mewahan. Yang ada hanyalah jamuan yang dihidangkan hampir sama dengan rakyat. Tetamu jemputan mungkin ada tempat khasnya, tetapi menu dan hidangannya adalah sama. Saya tidak mahu ada kasta antara rakyat dengan pemimpin. Apakah dosa rakyat sehingga makanan pun mereka diasingkan menunya daripada pemimpin, dan apakah hebatnya pemimpin itu?

Saya suka berpakaian biasa, kasual. Kalau ada hal tertentu saya ingin berpakaian jubah berserban. Alangkah indahnya melihat raja berpakaian sederhana seperti rakyat biasa, manakala ketika tertentu berpakaian sama seperti ulama'. Mungkin ada yang memberi komen tidak sesuai dengan suasana, tetapi demi kerana Islam dan sunnah, saya ingin berpakaian dengan pakaian rakyat biasa pada bukan majlis rasmi negara.

Akhir sekali saya tidak ingin disanjung berlebihan. Andainya saya hadir lewat disesebuah masjid sempena bersolat Jumaat disesebuah tempat, maka saya ingin memilih tempat di belakang, sama seperti makmum yang lain. Apa bezanya saya di sisi mereka, di hadapan Allah swt nanti bukankah kita sama? Jangan ada sesiapa yang hamparkan permaidani kuning atau merah, nanti saya tidak akan hadir lagi ke tempat tersebut.

Ini semua adalah impian saya sekiranya saya sebagai penguasa. Impian saya mungkin tidak akan menjadi kenyataan, tetapi saya berdoa dan berharap akan ada penguasa tertinggi negara hadir dan melengkapkan impian saya itu di alam realiti ini.. Mungkinkah ia berlaku?

No comments:

Post a Comment