Thursday, April 2, 2009

ERTI TARBIYAH PADA SUAMI DAN AYAH

Perkataan Tarbiyah sangat sinonim pada diri seorang amilin. Memang segalanya akan dikaitakn dengan tarbiyah. Ia Penting untuk memandu arah diri agar tidak tergelincir dari landasan perjuangan Islam.

Posting saya dengan tajuk di atas bukanlah sesuatu yang baru. Barangkali ianya sudah mangli disyarahkan dalam mana-mana peringkat usrah, kuliah, siri tamrin, muhasabah dan lain-lain. Mungkin sengaja saya nak mengajak pembaca sekalian untuk berkongsi pandangan dan pengalaman berkenaan tarbiyah pada diri suami dan ayah.

Buat para isteri atau ibu, boleh juga memberi komen, pandangan yang bernas. Tujuannya supaya kita bersama-sama dapat membangunkan sebuah 'baitul muslim' yang soleh.

Menjadi suami atau ayah adalah suatu kehidupan baru bagi para lelaki. Kehidupan bujang tidak sama dengan kehidupan menjadi suami dan ayah. Membahaskan kehidupan sebagai ayah dan suami juga tidak sama dengan perbincangan atas kertas. Ia mesti dijalani dengan alam realiti, dan kertas kerja mungkin sekadar panduan hidup kita.

Suami dan ayah memegang peranan sangat penting dalam pembangunan syakhsiyah keluarganya. Jatuh bangun anak watannya adalah hasil didikan seorang ayah. Seperti ibu dan isteri yang turut sama menyumbang peranan besar, kedua-duanya bertanggungjawab melahirkan generasi yang soleh solehah.

Perkara asas, menurut fahaman saya, seorang suami atau ayah itu mesti tahu tasawur Islam dan perjuangannya. Nilai tambah buat amilin dalam perjuangan Islam ialah dia mesti mengetahui tuntutan Islam dan perjuangan Islam terhadap diri dan keluarganya. Basic utama dia mesti sekurang-kurangnya mengimami solat berjemaah bersama isteri dan anak-anak. Kemudian ajarkan anak-anak membaca doa lazim seperti makan, tidur, masuk tandas, masuk masjid. ajaran ini bukan semestinya secara formaliti, mungkin secara berjenaka agar anak-anak tidak bosan. Ayah perlu menerapkan aqidah yang tulus dengan mengkaitkan kejadian alam semesta, serta hidupan lainnya dengan ketuhanan. Manakala isteri difahamkan bahawa rezeki, ajal dan takdir adalah ketentuan Allah swt.

Sang ayah mesti sekurang-kurangnya seminggu sekali adakan 'usrah' atau perbincangan bersama di rumah dengan isteri dan anak-anak. Sesekali bukalah buku sejarah Nabi dan rasul, bacakan ayat-ayat Qur'an dan hadis kepada isteri dan anak-anak supaya mereka nanti terbiasa dengan budaya usrah di rumah. Mungkin anak-anak kecil tidak faham perbincangan itu, tetapi apabila dibiasakan dia akan membesar dengan budaya usrah dan tidak kekoklah anak-anak bila masuk sekolah nanti.

Si isteri perlu difahamkan tentang maksud perjuangan Islam. Ini khusus buat keluarga amilin (minta maaf kepada pembaca yang tidak terlibat dalam lapangan jemaah). Kadang-kadang saya berasa sedih mendengar keluh kesah isteri yang merungut masa suaminya banyak di luar (bersama kegiatan jemaah) berbanding di dalam rumah. Mungkin tarbiyah suaminya tidak sampai kepada isteri. Kepada para isteri, perlu faham seketika. Masa suami berjemaah di luar (bermesyuarat, aktiviti dan lain-lain) tidak sama dengan masa suami mereka yang melepak di kedai kopi. Ini kes lain kalau suami yang berkeadaan demikian. Masa suaminya yang begitu (bergiat dengan jemaah) walaupun banyak masa di luar tetapi adalah masa yang sangat berkualiti. Itulah masa suami untuk Islam dan perjuangannya, kerana tuntutan zaman. Banggalah dengan suami yang dipilih Allah sebagai pejuang Islam dan mungkin bertaraf syuhada kiranya dia mati di jalan Allah swt dalam kesibukan masa di luar.

Namun perlu diingatkan, buat suami dan yang bergelar ayah, jangan sesekali masa di luarmu menghambat masa istimewa bersama isteri dan anak-anak. Saya juga berasa sedih kelibat beberapa orang yang tidak peduli hal keluarga dan rumahtangga. Sehari dalam sebulan perlu dihabisi bersama isteri dan anak-anak. Bawalah mereka berjalan, bersiar ke mana-mana. Mereka juag perlukan belaian kasih suami dan ayah. Ini adalah tarbiyah yang penting bagi memastikan kesinambungan kasih rumahtangga berlarutan.

Ibarat sebuah kereta baru. Kita perlu menjaganya selalu supaya ia sentiasa dapat digunakan. Tayarnya perlu diganti kalau sudah 'botak'. Enjinnya perlu diservis apabila sampai masanya. Bateri perlu ditukar mengikut tempoh. Air perlu diperiksa, sama ada cukup atau tidak. Bila dijaga, kenderaan itu akan bertahan lama. Maka lebih lamalah tempoh hayatnya. Dalam keluarga begitulah halnya. Isteri dan anak-anak perlu dijaga. Walaupun ada hadnya, para suami dan ayah mesti pandai membataskan masa.

Ada beberapa kes yang menjadi rujukan saya. Ada orang yang terlalu sibuk dengan urusan jemaah sehingga lupa anak dan isteri di rumah. Jarang sangat mereka peruntukkan masa berjalan-jalan membawa isteri dan anak-anak. ada juga yang biasa melancong ke luar negara seorang diri. Mereka lupa untuk membawa, sesekali, isteri dan anak-anak. Apabila balik sekadar buah tangan dan gambar menjadi hadiah anak-anak. Seolah-olah anak-anak dan isteri tiada tempat dan tidak layak dibawa bersama melancong ke luar negara.

Si dia (isteri) perlu difahamkan terhadap tuntutan perjuangan yang utama iaitu infak. Sang suami mencari nafkah harus membagikan nafkah itu kepada beberapa bahagian. Satu untuk keluarganya manakala satu lagi adalah untuk perjuangan Islam. Mengharapkan kecukupan wang baru berinfak adalah suatu kemustahilan. Saya belum pernah mendengar seorang manapun, walaupun bergaji tinggi berasa cukup dengan pandapatannya. Tidak Pernah. Justeru dengan hasil keringat itulah suami atau ayah perlu bijak memperuntukkan hartanya di jalan Allah swt. Para isteri janganlah merungut suaminya yang kuta bersedekah dan infak. Ini bahagian untuk Islam, manakala bahagian untuk keluarga suami sudah peruntukkan.

Sebagai pendakwah, suami atau ayah mesti bijak bergaul dengan keluarganya. Kalau menjadi ahli gerakan Islam, hal kebajikan rakyat atau masyarakat menjadi keutamaan. Sakit pening rakyat dijaga, kematian diziarahi, sakit dilawati, susah diingati. Begitulah halnya pula kepada keluarganya sendiri. Masakan dia boleh lupa tanggungjawab menjaga kebajikan isteri dan anak-anak di rumah? Hilai tawa dan tangis isteri dan anak-anak mesti menjadi keutamaan. Suami adalah penyejuk mata di rumah. Sebagai ketua rumahtangganya, menjaga kebajikan keluarganya adalah tanggungjawab dan kewajipannya. Jenguk-jenguklah isteri di dapur. cukupkah beras, gula dan garam. Bagaimana pula dengan sabun basuh dan mandi. Perlukah sentiasa dileteri isteri untuk membantu tugas-tugas sehariannya?

Akhir sekali, dalam keterbatasan ini, saya melihat suami atau ayah perlu menjadi contoh kepada keluarganya. Ayah mesti idola anak-anak. anak-anak yang meniti usia remaja dan dewasa perlu dijadikan 'teman' bukan tawanan. Adakalanya saya merasa sedih melihat kes-kes tertentu ayah menjadikan anak-anaknya seperti tawanan perang. Maki hamun, penampar dan penumbuk menjadi kebiasaan. Anak dan isteri menjadi 'punching bag' melepas kemarahan. Secebis senyuman pun tidak pernah dilemparkan pada anak-anak dan isteri. Katanya dengan demikian akan terdidiklah keluarganya. benarkah begitu? Anak-anak menjadi hormat kepada ayah demikian, kerana sayang atau takut? Ini persoalannya. Saya berpendapat, mendidik anak-anak dan isteri tidak perlu ala-tentera atau komando. Tentera dijadikan demikian supaya mereka hormat kepada ketua, tetapi tidak kasih kepada ketua. Taat kerana terpaksa. Dalam rumahtangga, kita perlu jadikan suasana kasih sayang menguasai pendidikan anak-anak. Walaupun ada kalanya perlu berkeras dengan anak-anak yang degil tetapi seeloknya jangan digunakan selalu, bimbang anak menjadi takut kepada ayah sendiri. Anak menjadi fobia dan menganggap berhadapan dengan ayah seumpama berhadapan dengan seorang guru disiplin di sekolahnya! Anak akan menjadi kaku dan formal. Kesannya anak-anak sukar berkongsi perasaannya dengan ayahnya sendiri.

Sebaliknya fahaman saya, ayah mesti menjadi role model yang baik kepada anak-anak. Sesekali hadirlah ke aktiviti sekolah yang disertai anak-anak. Jadilah penyokong kuat nak-anak yang giat bersukan, riadah, kesenian dan sebagainya (Ingatan : pastikan anak-anak menutup aurat sebaiknya). Dengan cara ini anak-anak akan berkongsi rasa dengan ayahnya dan mengangap ayahnya adalah teman baiknya. Bukankah bahagia menjadi keluarga sedemikian?

Sebenarnya banyak lagi aspek yang perlu dititik beratkan oleh sang ayah atau suami dalam mentarbiyah isteri dan anak-anak. Kesimpulannya, tiada rumahtangg paling bahagia melainkan rumahtangga Nabi Muhammad saw. Terpulanglah kepada kita, sunnah yang mana hendak kita dahulukan, awali dan kemudiankan. Pesan saya, jadikan rumahtangga sebahagian dari matlamat perjuangan Islam yang kita dokong bersama.

No comments:

Post a Comment