Tuesday, March 24, 2009

PELIHARALAH SOLAT MU

" Peliharalah kamu(kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar) dan berdirilah dengan ALLAH (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk."
(Al-Baqarah : 238)

Apabila telah leka dengan urusan dunia manusia mudah leka dan lalai untuk menunaikan solat seawal waktu. Ramai lagi diantara kita umat Islam melengah-lengahkan waktu solat dengan anggapan masa masih panjang.

" Ah..sikit lagi la solat, siapkan kerja dulu lah"


Keluhan yang seumpama ini kerap meniup-niup di telinga kita. Amalan yang menanti-nanti, kejap-kejap, sat lagi, dan macam-macam alasan lagi dah menjadi amalan kita. Lama kelamaan ianya menjadi kebiasaan. Kita bagi alasan itu bukan untuk sesiapa pun, untuk diri kita juga. Fikirkanlah inikah bekalan yang kita nak bawa ke kampung akhirat kita nanti?

Allah swt memerintahkan supaya kita memelihara solat lima waktu dengan menunaikan solat itu di dalam waktunya dan memelihara batas-batas waktunya. Maksudnya jangan dilakukan di luar waktu. memelihara rukun dan syarat-syaratnya serta dilakukan sebagaimana cara solat Rasulullah saw. Sabda baginda:-

" Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang."

Ibnu Mas'ud pernah bertanya kepada Rasulullah:
"Manakah dia amalan yang paling afdhal sekali?"
Sabda Nabi SAW : " Sembahyang di dalam waktu."

Kemudian saya bertanya lagi. "Apakah dia selepas itu?"
Sabda Rasulullah SAW: " Berjihad pada jalan Allah yakni berjuang meninggikan kalimah Allah Taala denga harta benda, nyawa dan jiwa raga."

Kemudian saya bertanya lagi:"Selepas daripada itu apa lagi?"
Sabda Rasulullah SAW:" Berbuat baik kepada ibubapa."

Betapa Allah meletakkan perkara solat adalah perkara yang paling utama bagi manusia dari perkara yang lain. Inilah cara kita menunjukkan rasa kasih dan taat kepada Allah serta ucapan terima kasih kita kepada Allah yang telah menghidupkan kita di dunia ini. Seterusnya memberi kita rezeki, kesihatan dan indah paras rupa.

Sebagai seorang dai pula, kalau perkara solat pun kita ambil sambil lewa, melengah-lengahkan waktu tanpa alasan yang kukuh, tak salahlah kiranya Allah melengahkan juga kemenangan Islam di atas muka bumi ini.

Segala yang baik datangnya dari Allah jua. Peringatan untuk diri dan keluarga jua.
Wallahualam

Monday, March 23, 2009

BETAPA PENTINGNYA SOLAT ISTIKHARAH DALAM KEHIDUPAN HARIAN KITA


Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya
terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam
membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki
atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan
sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih
jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita
kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini. Sedangkan
amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah
sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis: Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan
kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah
surah dalam Al Quran."

Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat
dua rakaat, kemudian berdoa:

"Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon
kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari
limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa
sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak
mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya
Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku
dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah
pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan
permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya
Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam
urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku,
kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan
untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya."

Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita
mempelajari al-Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa
contoh kisah benar yang berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa
mengamalkan solat istikharah. Nama dalam kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah-1

Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya
tergerak hati Salim untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan
di surat khabar dan berkenan dengan tawaran rumah yang agak munasabah
harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi pihak pemaju
telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan
memberi jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim
berminat dengan rumah tersebut lalu terus membelinya. Kini lima tahun
telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai kerana pemaju
telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada
bank walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah-2

Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan
dua orang cahaya mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang
kedua masih 8 bulan. Mereka berasa agak susah hendak ke sana kemari
kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah mencadangkan kepada
Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room
untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus
membelinya. Selang sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu
keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia masih membayar ansuran bulanan
dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi tidak
mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah-3

Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk
melabur dalam satu skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan
sehingga RM10,000 untuk pelaburan tersebut. Dua tahun telah berlalu duit
pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah-4

Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang
untuk mengambil pembantu rumah Indonesia . Mereka pergi ke agensi
pembantu rumah dan terus memilih seorang pembantu rumah yang terdapat
dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun sampai dan
berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu
tiba-tiba pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.

Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis
sendiri bertanya kepada mereka adakah mereka telah melakukan Solat
Istikharah sebelum memilih atau membuat keputusan. Mereka kata langsung
tak terfikir hendak melakukannya.

Kisah -5

Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak.
Suatu hari dia mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak
memberikan satu hadiah istimewa kerana jasa Iskandar yang telah
menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan kepadanya
perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung
sepenuhnya iaitu RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan
kepalang kerana sudah lama dia mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun
duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000. Iskandar tidak terus
menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk
membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam
berturut-turut. Pada hari keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia
sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia mengatakan ingin pergi
menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa,
dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas
itu baru Iskandar mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya
itu adalah dari duit riba iaitu interest bank konvensional akaun
simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa
duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh
digunakan sendiri.

Kisah-6

Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam
ke Sandakan. Bila menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana
ingin memberi khidmat di kawasan pedalaman. Baginya tidak ada masalah
sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke Sabah . Dia solat
Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian
kepadanya. Dia berdoa "Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik
untukku dan agamaku maka permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah
dengan yang lebih baik dan sempurna". Selang dua minggu Pengetua
disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik
balik disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak
kecewa malah tetap gembira kerana telah melakukan solat istikharah. Dia
yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya. Selang sebulan dia
bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman
tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita
ambil iktibar dan pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di
dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga
lebih RM200,000. Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga
25 tahun. Dalam tempoh tersebut macam-macam perkara boleh terjadi. Jika
sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah
tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat
dan memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa
sahabat yang melakukan Solat Istikharah sebelum membeli rumah,
Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat membayar balik
hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala
bentuk pinjaman yang ada unsur-unsur riba' seperti dari sistem
konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga Allah memberikan
keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat.
Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan
membantu kita di ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada
sesiapa yang boleh menghalangnya.

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal
Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat
Istikharah adalah seperti berikut;

* Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul
2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu
yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.

* Niatnya "Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat
kerana Allah ta'ala"

* Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah
Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

* Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah
Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

* Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan
basmalah dan selawat dahulu).

Terjemahan Doa' :

Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon
kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari
limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa
sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak
mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya
Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (...sebutkan hajat..)
adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan
ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah
ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya.
Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (...sebutkan hajat..)
membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan
penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka
elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana
sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat
Imam Bukhari)

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada kita semua. Wallah hu
'alam

Renung-renungkan dan selamat beramal....

Sunday, March 22, 2009

BERBELANJALAH PADA JALAN ALLAH

" Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu sebelum tibanya kiamat yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat) serta tidak ada pula pertolongan shafaat. Dan orang-orang kafir, potong itulah orang-orang yang zalim." (Al-Baqarah : 254)