Monday, May 4, 2009

BERTARUNG DENGAN KEMATIAN: MASIHKAH KITA TIDAK INSAF?

Sesekali duduk melengung, teringat kepada sakaratul maut yang wajib menimpa semua manusia. Bila teringat perkara ini, mulalah meremang bulu roma mengingatkan kita semua akan menempah maut dan dimuatkan dalam keranda untuk diusung.

Memang sejak kecil atau sejak saya akil baligh, mengenang saat kematian sentiasa menghantui jiwa. Kadang-kadang sebelum tidur pasti teringatkan giliran saya yang berada di dalam kesakitan maha dahsyat itu. Terbayang-bayang bagaimana seorang insan kerdil seperti saya, yang bergelumang dengan dosa dapat bertahan dengan iman senipis kulit bawang ini. Saya cemas terfikirkan malaikat maut merenggut nyawa ibarat menarik akar kayu yang tersimpan di bawah tanah.

Dalam pada itu, masih juga insan seperti saya lupa kematian. Ingat kematian pada waktu-waktunya, tetapi banyak masa lalai dan alpa diselaputi dunia. Bila diserang sakit-sakit sikit seperti demam, pening kepala, sakit kaki, perut dan lain-lain mulalah teringat bagaimana kesakitan ini membawa kepada maut. Saya sering juga teringat sakit sedikit ini dibandingkan dengan kemuncak kesakitan, iaitu maut! Tidak terperi rasanya, tetapi telah dialami oleh jutaan bahkan billion manusia, termasuk para Nabi.

Agak hairan bagaimana insan yang telah berusia separuh abad, bahkan lebih dari itu, dalam menjangkau 60 tahun masih ada kudrat dan nafsu mengejar jawatan. Ada yang sanggup merasuah, menipu, menindas, melobi hanya semata-mata mengejar nikmat yang dikecap sementara cuma. Yang mahu mengejar kuasa, menjadi menteri, Perdana Menteri dan kabinet yang lainnya, berapa lama mereka bergentayangan dengan kuasa. setakat sepuluh tahun kemudian pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya. Tiada apa yang dibawa melainkan bekal amal dan juga tanggungjawab yang pasti dipersoal. Saya hairan masih mereka mengejar habuan itu semua, dan melupai mati tatkala maut bila-bila masa menjemput mereka.

Lainlah kalau jawatan yang dikejar itu adalah amanah dari Allah, atau kehendak jamaah. Itu bukan atas kehendak kita. Mendapat jawatan untuk menunaikan hak terhadap Allah dan RasulNya, mendirikan Islam. Perkara ini disebut jihad. Berjihad tidak ada had umur dan masa. Sesiapa juga yang mampu hendaklah berjihad, dan suasana kita hari ini, mengejar kuasa adalah salah satu jalan jihad. Syaratnya bertaqwa kepada Allah serta mengejar jawatan adalah atas perintah jamaah, bukan mencari sendiri!

Orang sebegini sebenarnya lebih bersiap untuk mencari akhirat daripada dunia. Meskipun nampak seakan dunia yang dikejar (jawatan dan kuasa), hakikatnya mereka mencari redha Allah dan mematlamatkan akhirat. Contohnya adalah YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Seumur hidupnya tidak pernah termimpikan mendapat kuasa. Dan apabila mendapat kuasa, ditunaikan seamanah mungkin tanpa sepicing pun ada rasa keinginan terhadap dunia. Alangkah mulianya mereka yang seperti ini.

Saya merasa pelik, di kala zaman menuju ke akhirnya, masih lagi insan mengejar maksiat. Maksiat dijadikan tuhan sembahan manakala ibadat dibuang sejauh mungkin. Usia telah hampir tempoh tamat tetapi masih seronok bergelumang dengan dosa. Saya hairan setelah pencen bertahun masih lagi ada hati manusia ini membina mahligai bernilai jutaan ringgit, di atas puncak bukit. Untuk siapakah nikmat ini semua?

Sedangkan mereka tahu ramai sahabat handai saudara mara seangkatan mereka satu demi satu dijemput Allah swt, yang ada sebenarnya sedang menunggu giliran yang hampir sampai. Saya terasa tertekan walaupun dalam usia setengah umur Nabi Muhammad saw ini, apabila melihat seorang demi sorang saudara mara pergi mengadap Ilahi! Pergi pula dalam bermacam keadaan. Ada yang tragis, ada yang mengejut, ada yang menderita lama dan sebagainya. Nampak sangat kita manusia ini pelupa! Membina mahligai hanya untuk dinikmati generasi kemudiannya, dan kemungkinan mahligai itu tersadai sebegitu rupa kerana anak-anak sibuk membina kehidupan sendiri di merata-rata tempat. Siapa yang akan miliki mahligai itu nanti?

Saya musykil ramai lagi dari kalangan kita yang sedang enak bergelak ketawa, sedangkan dalam waktu yang sama ramai kalangan kita yang sedang bertarung dengan kematian. Memang kehidupan ini indah tetapi kita lupa bahawa bandingannya dengan akhirat, hampir-hampir tidak menyamai dengan sebelah sayap nyamuk. Selalu saya berpeluh sendirian apabila mengenangkan bermacam-macam penyakit yang dideritai manusia. Yang paling ditakuti adalah barah, kerana dalam masa beberapa bulan sahaja ia mampu memakan daging dan darah sehingga kita menjadi mayat sekelip mata. Lain-lain, sakit jantung, kencing manis, buah pinggang, ghout, stroke, darah tinggi- semuanya berstatus heavyweight! Saya mendapat makluman kematian orang-orang terdekat, dan bagaimana tersiksanya mereka dengan penyakit-penyakit itu. Moga Allah menempati mereka dengan keampunan dan disisi orang Soleh.

Kadang-kadang bila melawati hospital, saya merasakan diri yang sihat tiba-tiba menjadi sakit apabila melihat orang sakit. Alangkah sukarnya kehidupan mereka, sedangkan suatu waktu dulu mereka juga bergelak ketawa macam saya. Terbayang-bayang bagaimana kalau saya menjadi mereka.

Dalam keadaan begini masih lagi kita berseronok membina kehidupan. Yang suka melancong, pergi pusat hiburan, berfoya-foya, melepak di kedai kopi, seolah-olah mereka mampu hidup seribu tahun lagi. Alangkah lupanya kita kepada hari perpisahan itu.

Sesekali apabila mengetahui bencana menimpa disuatu tempat, alangkah takutnya rasa diri. Saya masih teringat peristiwa Tsunami tahun 2004 yang melanda Acheh. Inilah bencana terburuk dalam sejarah, dan ia berlaku hampir-hampir di tempat kita diami sekarang. Kita masih lagi rasa selamat kerana ia tidak berlaku ke atas aku! Bila melihat mayat bergelimpangan, sayunya rasa hati. Bayangkan saya sedemikian, diperlakukan seperti sampah - disodok dengan jentera dan dimasukkan ke dalam lubang kubur yang besar. Berakhir sudah kisah kehidupan yang tidak diceritakan. Mati mengejut sebegitu. Alangkah takutnya rasa hati. Tiba-tiba maut mengejut. Apakah persiapan aku?

Apabila menelek akhbar serta media dan mendapat cerita kemalangan ngeri dan maut. Alangkah takutnya rasa, seperti menggigil kepala lutut. Saya terfikirkan dalam keadaan bergelumang dengan dosa saban hari tiba-tiba nyawa direnggut malaikat maut. Hutang pula berkeliling pinggang. Tidak tercatat pula. Siapa yang akan bayar dan bagaimana akan dibayar? Selamatkah aku?

Bila terfikirkan begini rasa-rasanya tidak mahu lagi bercakap lagha. Tidak ada lagi cita-cita mengejar kehidupan dunia. Malas nak berebut jawatan di peringkat kawasan dan negeri. Rasa-rasanya ingin sahaja memenuhi setiap masa di masjid, kalau tidak pun beramal dan berzikir sepanjang hari. Tidak ada sifat mazmumah, jauh sekali hendak berbohong, mengumpat, mencela, mencuri dan lain-lain. Ingin rasanya saya melangsaikan hutang sesegera mungkin, tetapi apakan daya.

Usia kita berbaki beberapa minit, ingatlah dan ingatkan diri saya untuk terus ingat kematian. Kerana mengingati mati adalah senjata paling ampung menundukkan kesombongan dan kezaliman. Biarlah hidup sebagai tentera di jalan Allah yang hanya menunggu perintah daripada bergelut merebut kuasa! Saya hanya ingin mati di jalan Allah sebagai insan biasa yang dinagkat sebagai syuhada di sisi Allah...

No comments:

Post a Comment