Tuesday, May 5, 2009

AHLI PAS: BERWALA'LAH! KITA SEDANG DIPERHATIKAN.

Saya sedang membaca, menelaah dan memerhatikan gelagat pimpinan dalam PAS yang agak sedikit terikut-ikut arus media serta musuh politik yang mahu mengucar-kacirkan PAS. Bagi mereka, kocakan kecil dalam cawan antara sesama ahli dan pimpinan tidak memadai. Mereka mahu ia membadai, membarah sehingga menyebabkan runtuhnya jemaah PAS. Di akhir nanti, yang mengutip bnuah keuntungan ialah UMNO dan Barisan Nasional.

Saya bersetuju memerangi musuh dalam selimut, tidak kirapun apa warna pakaiannya. Dan saya berpihak kepada ketulenan jemaah yang bernama PAS. Saya selamanya tidak mengizinkan ada satu pemikiran yang dibawa dari luar, meminjamkannya ke dalam PAS dengan meracun seluruh urat nadi dan kerangka pemikiran PAS. Saya sayangkan PAS, menganggapnya jemaah Islam penyambung perjuangan Nabi SAW yang diasaskan rangka tubuhnya oleh Imam Hassan al Banna. Bagi saya, jemaah lain mempunyai citra tersendiri yang wajar satu sama lain saling hormat menghormati. Tetapi saya amat benci manusia hipokrit yang bercakap soal baiah dan wala' kepada jemaah hakikatnya, mereka bertuankan jemaah asal mereka. Mereka menyelinap ke dalam PAS sekadar untuk meneraju serta mengubah haluan perjuangan dari asal kepada sesat. Mereka hanya mahu diri dan jemaah asal mereka diiktiraf, bukan PAS.

Dalam keadaan demikian, saya bersetuju memerangi musuh Islam ini selain yang ada berselerak diluar. Tetapi saya kesal melihat telatah pimpinan yang saling tuduh menuduh, serta saling berbalas tembakan di hadapn lensa kamera media massa. Saya kecil hati melihat pemimpin ini secara zahirnya bercakaran menegakkan pendapat dan pendirian mereka. Sehingga kini blog dijadikan senjata membunuh dan meledakkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh.

Jauh dari itu, saya sedih Presiden PAS keseorangan ketika ini. Sudah ada yang jahat tangan membubuh nila pada imej Presiden. Di manakah wala' kita selama ini? Sudah hilang percayakah kita kepada prinsip keberkatan dalam jemaah, bahawa wala' dan taat merupakan kunci kejayaan PAS?

Saya setuju dikatakan Presiden PAS bukan seorang maksum. Boleh ditegur dan dimuhasabah. Tetapi jangan mengaibkannya di khalayak. Kenapa perlu dalam ucapan rasmi menghentam seorang Amir kepada jemaah ini? Kenapa gunakan blog untuk menghina dan menelanjangkan seorang demi seorang pemimpin PAS? Kedua-dua pemimpin PAS, Presiden dan Mursyidul Am PAS adalah tokoh kesayangan saya. Sedih melihat kedua-dua mereka dijadikan objek untuk hentam-menghentam. Manakala wujud sepuak lagi untuk menghukum kedua-duanya serta kumpulan kedua-duanya.

Untuk menghukum pihak bersalah, kenapa perlu digunakan dengan cara yang salah? memburu jenayah dengan melakukan jenayah. Kita tidak akan ketemukan pihak yang benar dengan cara ini.

Saya tahu mainan siapa ini. Inilah skrip yang dilakonkan oleh manusia jahat seperti saya maksudkan di atas (musuh dalam selimut jemaah). Ini juga mainan oleh manusia jahat diluar sana yang mahu PAS digoyangkan sekuatnya. Supaya dilihat PAS sama macam UMNO. Supaya dilihat jemaah PAS bukan tulen, kerana masing-masing sibuk merebut ghanimah dan kuasa. Nanti yang ditonjolkan baik dan sempurna adalah 'jemaah' mereka. Mereka berukhwah dengan penuh takzim, tidak ada pergeseran, semuanya di atas landasan syura dan sebagainya. Inilah objektif mereka.

Ahli PAS, kembalilah kepada landasan perjuangan Islam sebenar. Wala' lah dengan kepmpinan kita. Sabarlah dengan ujian dan patuhlah dengan segala keputusan jemaah, kendatipun keputusan ini melambatkan kemenangan kita. Ingatlah, kejayaan bukan beerti kita berkuasa, tetapi kejayaan sebenar adalah menurut perspektif Allah. Perlu apa kita tanyakan bilakah kejayaan itu akan muncul sedangkan itu hak Allah. Bekerjalah. Sudah puas dan jemukah dengan pekerjaan sedikit kita? Jangan terlalu banyak komen, kerana komen yang banyak tidak melancarkan kerja. Belum terlambat untuk kita bersatu. Manakala manusia yang bertopeng ayam, insaflah. Kami tidak memerlukan idea canggih anda. Kami menerima anda dengan mahar keikhlasan anda. Kami tidak akan menghukum anda, kerana kelak Allah swt sahaja yang menyaring perjuangan ini.

Rakyat kini sedang memerhatikan kita. Tonjolkan buah yang manis untuk dimakan, jangan lontarkan kembali batu yang mereka lemparkan. Insyallah, kejayaan sedang menuggu kita kerana Allah tidak pernag memungkiri janjiNya!

No comments:

Post a Comment