Monday, July 6, 2009

BERAMALLAH DENGAN TUNTUTAN ISLAM

Bagi seorang yang beriman, sebenarnya ruang untuk memperolehi amalan dan ganjaran yang lumayan tersedia di depan mata. apakah alasannya bagi seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah swt dan hari Kiamat untuk mempersiapkan dirinya dengan amalan kebaikan.

Ramai manusia yang beramal dengan ajaran salah semata-mata untuk melengkapkan kehidupan mereka. Beramal dengan mentera untuk menjadi kuat, cantik, kaya, dan berpengaruh. Ada yang sanggup berbelanja beribu ringgit dan menghabisi kehidupannya semata-mata kerana ingin kepuasan hidup.

Ramai dari kalangan manusia yang beramal di luar ajaran Islam, juga mahu menikmati kehidupan yang diidamkannya. Mereka sanggup belajar ke luar negara mengambil jurusan profesional dan menghabisi kehidupan mereka untuk itu. Lantaran mereka mahu dikenali sebagai golongan profesional yang mengikut arus semasa. Hakikatnya mereka meninggalkan ajaran Islam yang kaya dengan khazanah ilmu dan rahsia yang tidak mungkin terungkapkan. Dengan kesibukan mengurus hidup mereka beralasan tidak mahu beramal dan beribadah. Alangkah ruginya manusia seperti ini!

Sebenarnya ruang beribadah dan beramal di dalam Islam terlalu luas dan terbuka. Hakikatnya syurga Allah swt terbentang luas untuk dimasuki. Hanya manusia yang degil dan tegar menjauhi syurga Allah swt dengan pelbagai alasan kehidupan duniawi.

Realitinya mudah untuk beramal, khususnya dengan al Qur'an. Insyallah sesiapa yang beramal dari ajaran Islam dan tuntutan Al Quran pasti hidupnya terjamin.

Mengambil contoh, bukankah Allah telah menjamin barangsiapa hendak kehidupannya tidak menjadi papa (miskin) selama-lamanya, beramallah dengan membaca sura Al Waqiah setiap malam / hari. Barangsiapa yang mahu dielakkan dari siksa kubur, beramallah dengan membaca surah Al Mulk dan Surah Sajadah setiap malam. barangsiapa yang hendak dimudahkan urusan kehidupan, maka bacalah Surah Yasin setiap hari.

Sesiapa yang mahu menjaga dirinya dan keluarganya dari gangguan syaitan serta sihir, maka eloklah diamalkan membaca ayat Qursi. Beramal dengan zikir seperti yang diajar oleh Imam al Ghazali setiap hari Insyallah ada keberkatannya. Membaca Lailahaillah, akan memberi jaminan di hari akhirat kelak, membaca Subhanallah akan menumbuhkan pokok di syurga, membaca selawat akan memberinya syafaat di hari kiamat, Astaghfirullah akan mengampunkan dosa-dosanya.

Tatkala hari Jumaat, terlalu lumayan ganjaran yang Allah berikan untuk hambaNya. Sibuk sangatkah diri kita untuk beramal dengan secebis doa? Bacalah Selawat seratus kali, insyallah akan diberikan syafaat dan dibalas salam kita dari Allah swt. Bacalah doa tertentu seperti dalam Hadis Nabi saw, Insyaallah hidup akan menjadi senang (kaya).

Kalau terlalu sibuk dan letih bekerja serta tidak mampu mengerjakan Qiyamullail, lakukan sahaja solat sunat Hajat, Taubat dan Witir sejurus sebelum tidur. Beramal secara berterusan menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar disisi Allah. Bukankah Allah mengasihi hamba yang mengingatiNya? Inginkan kesenangan dan kecukupan hidup, beramallah dengan solat sunat Dhuha setiap hari.

Beramallah kita, insyallah akan berjaya. Carilah masa dan ruang di sekeliling kita, laksanakan apa yang diinginkan, mudah-mudahan kehidupan kita lebih berkat. Beramal tidak sepayah mana. Yang pentingnya, kekuatan diri, keyakinan serta disiplin! Insyallah kita pasti boleh.

No comments:

Post a Comment