Saturday, June 27, 2009

SELAMAT HARI LAHIR

Happy Birthday Abi. Hari ini birthday Abi. Apa nak bagi. Bagi kek ni la.

Tadi Abi msg nak kek 3 tingkat. Tak jumpa la. 2 tingkat je boleh ye.

Sudah menjadi kebiasaan kami tinggal di rumah tanpa Abi. Semakin tahun semakin sibuk dia dengan amanah yang ditaklifkan. Hatta hari lahir dia sendiri pun dia tak ingat. itulah wira kami. Takpelah, balik dari program nanti kita celebrate sama-sama ye.

Tuesday, June 16, 2009

BAITUL MUSLIM

Sudah hampir 5 tahun kami menguruskan Baitul Muslim untuk sahabat-sahabiah samaada di kampus maupun yang diluar kampus. Selama itu jugala telah ramai pasangan yang telah berjaya mendirikan rumahtangga. Tak kurang juga yang masih dalam perancangan untuk hidup bersama. Alhamdulillah syukur kehadrat yang Maha Esa yang telah membantu dan mempermudahkan mereka untuk mendirikan masjid dengan ikatan perkahwinan yang kekal dunia akhirat.

Namun, bukan mudah bagi kami sebenarnya untuk mengendalikan perkara ini. Soal jodah di tangan Allah. Apa yang kami lakukan hanyalah membantu mempertemukan mereka dan memandu pasangan ini agar berada di dalam hubungan yang diredhai Allah dengan menjaga syariat dan muamalat sesama mereka. Selebihnya terpulanglah kepada mereka bagaimana nak mencorak kehidupan mereka kelak.

Apa yang menjadi keutamaan kami adalah, pasangan-pasangan ini tetap istiqamah dan bergerak aktif dengan perjuangan Islam yakni PAS. Hasrat Baitul Muslim sememangnya mahukan mereka tidak meninggalkan jemaah dengan mencarikan pasangan yang aktif dalam jemaah. Selebihnya terpulanglah kepada pasangan-pasangan tersebut.

Sepanjang pengalaman kami mengendalikan Baitul Muslim ini, perkara yang amat sukar adalah apabila ingin mencari ataupun memadankan seseorang. Bukan sekadar pasangan itu masing-masing perlu memohon petunjuk dari Allah, malahan kami juga turut perlu memohon agar Allah permudahkan urusan kami. Bagi persediaan majlis taaruf, terutama suami perlu mempersiapkan diri dan ilmu agar majlis ini berada di dalam rahmah.

Begitulah serba sedikit nikmat yang Allah beri kepada kami. Kami anggap ini merupakan tanggungjawap yang besar juga demi Islam. Harap segala amalan Allah terima sebagai bekalan di akhirat kelak.

Aminn...

Wednesday, May 20, 2009

ANTARA MEMPERMUDAH ATAU MENGAMBIL MUDAH

Sengaja saya memilih posting dengan tajuk ini bagi menghuraikan permasalahan yang berserabut di sekeliling kita. Ia kecil bagi sesetengah orang, tetapi boleh menyebabkan kerumitan dalam urusan kerja dan kesan yang lebih buruk terhadap rumahtangga, masyarakat dan negara.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Permudahkan, dan jangan mempersulitkan". Ia merujuk kepada mempermudahkan urusan supaya dengannya amal ibadat dapat ditunaikan. Islam mengajar erti mempermudahkan segala sesuatu agar ia mudah dilaksanakan. Solat itu mudah dan perlu dipermudahkan. Dengan pakaian seadanya kita sudah mampu mengerjakan solat di mana-mana. Siapa pun tidak boleh kemukakan alasan dari melaksanakan solat kerana setiap kesukaran ada penyelesaiannya. Kiranya bermusafir, laksanakanlah solat secara jama' qasar. Kalau sakit buatlah sekadar kemampuan - daripada berdiri, duduk, baring sehinggalah kepada kerlipan mata sebagai isyarat solat. Kalau tiada diketemukakan air maka bertayamumlah. Apa lagi alasan bagi muslim daripada menunaikan perintah Allah SWT ini.

Islam juga mengajar jangan terlalu dipayahkan iabadat solat ini. Memang perlu berniat ketika berwuduk tetapi cukup sekadar biasan hati. Saya pernah bertemu dengan seorang yang ditimpa penyakit was-was sehingga lencun tubuhnya ketika hendak berwuduk. Alangkah sukarnya orang ini untuk menyempurnakan wuduk sedangkan Islam tidak pernah mengajar begitu. Ada juga saya bertemu dengan seseorang yang sukar mengangkat takbir ketika takbiratul Ihram untuk solat. Sehinggalah Imam rukuk dan sujud baru dia ini sempurna mengangkat takbir pertama! Alangkah sukarnya dia sedangkan solat itu mudah sahaja.

Mempermudahkan kerja sangat perlu terutama dalam soal berdakwah. Memperleceh dan memberatkan urusan dakwah menyebabkan dakwah terbantut atau terlambat. Ini bukan bermaksud kita mengambil lewa dengan persoalan hukum. Asas hukum perlu dijaga, hanya dari sudut perlaksanaan kecil atau khilaf sahaja diringankan perlaksanaannya. Tidak perlulah saya huraikan satu persatu persoalanm khilaf kerana bukan niat saya membincangkan isu ini. Isu yang besar pada saya sekarang ialah persoalan mempermudah atau mengambil mudah.

Dalam urusan pengurusan atau pentadbiran, mempermudah amat diperlukan tatkala menghadapi kerenah ahli yang pelbagai (dalam konteks organisasi PAS). Kadang-kadang mesyuarat tidak cukup korum akan mempersulit urusan selanjutnya. Kalaulah seseorang yang sangat berpegang pada disiplin organsasi pada ketika ini sudah tentu mesyuarat tidak dapat dijalankan. Begitu juga dengan Mesyuarat Agung atau Muktamar. Kalau diambil kira dengan jumlah keahlian, ahli yang berdaftar sebagai sah syarat mesyuarat agung tersebut, kawasan saya antara yang telah gagal melaksanakan mesyuaratnya. Namun atas dasar kita mempermudahkan urusan, maka perkara ertentu yang penting terpaksa diketepikan hanya semata-mata mahu menjayakan agenda mesyuarat agung. Dan ini pun bukan bermaksud memperleceh undang-undang.

Saya katakan kita perlu patuhi peraturan yang ditetapkan, tetapi bagi mempermudahkan urusan jangan sampai tersulit jadinya, permudahkan ia. Meleraikan kekusutan lebih baik dari terus membiarkan ia tersimpul. Saya pernah bertegang leher dengan seorang pimpinan pertengahan yang begitu bersungguh memegang peraturan dalam mesyuarat agung sehinggakan hampir-hampir mesyuarat agung tersebut berlangsung dalam keadaan layu dan kaku!

Dalam kemudahan komunikasi yang meletus hari ini, sewajarnya kita menggunakan sepenuhnya kemudahan ini bagi mempermudahkan urusan. SMS, MMS, emel, YM dan sebagainya seharusnya boleh menggantikan surat bagi memaklumkan sesuatu atau menyalurkan maklumat penting. Saya terkadang merasa kesal sebilangan orang yang bertegas dengan 'skima' surat sedangkan kesemua alat komunikasi tersedia di depan mata. Ya, sekiranya amat perlu utuslah surat, tetapi dalam banyak keadaan permudahkanlah urusan. Fahamilah situasi dan terimalah arahan melalui saluran mudah yang ada.

Mengambil mudah

Sebaliknya ada juga konotasi yang bunyinya hampir sama, maksudnya berbeza. Mengambil mudah akan membawa padah. Dalam hal ini saya mengaku tidak boleh pergi lebih jauh kerana dalam banyak hal perkara remeh saya alpakan. Saya bukanlah orangnya yang layak menjadi pemimpin yang teliti dan berpegang pada peraturan. Saya adalah saya yang sekadar layak dipimpin dan ditegur selalu.

Mengambil mudah akan sesuatu mirip bersikap sambil lewa. Solat kalau diambil mudah silap gayanya akan terbatal sehingga membawa dosa pula kepada pelakunya. Membaca al Quran kalau tidak kena pada tajwid dan makhrajnya boleh memesongkan maknanya. Memahami Islam mesti pada tempatnya, bukan boleh dikutip di tepi jalan dan dibaca buku di mana-mana. Mendalami ilmu mesti berguru dan berkitab.

Di hadapan Allah tidak ada alasan bagi kita mencari dalih. Mengambil mudah hidup di dunia tanpa teliti (taqwa) akan membinasakan diri. Kita mesti bertegas dan berpandu kepada segala arahan yang telah diberikan. Memang Allah mengharamkan tidak banyak benda, tetapi jangan dilanggar larangan-larangan tersebut. Hidup ada batasan, syarak juga telah membataskan segalanya.

Dalam hal organisasi berjemaah, mengambil mudah sesuatu akan merosakkan jemaah itu. Saya ambil contoh, orang yang bersikap sambil lewa dengan tidak menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya, ia akan membebankan jemaah yang disertainya. Masa telah ditetapkan dan jangan mengambil mudah perkara ini. Kadang-kadang kesian saya dapati teman-teman yang menunggu hampir sejam untuk memulakan mesyuarat hanya kerana menunggu korum yang tidak cukup. Rakannya yang 'ambil mudah' itu dengan selamba tanpa meminta maaf atas kelewatannya.

Temu janji yang ditetapkan jangan diambil mudah untuk dilanggari. Bayangkan betapa bengkaknya hati apabila yang dijanjikan tidak hadir tanpa berita. Sedangkan Nabi SAW menyifatkan orang yang memungkiri janji sebagai munafik. Orang munafik tidak layak dijadikan teman, apatah lagi pemimpin.

Hutang yang ditanggung jangan diambil mudah untuk melunaskannya. Saya sendiri gerun bila memikirkan hutang bertimbun keliling pinggang, takut-takut perjuangan yang didokong menjadi sia-sisa kerana hutang yang tidak dibayar. Ramai mengambil mudah melupakan hutang yang ditanggung sedangkan pemiutang terpaksa menanggung kesusahan hasil pinjaman yang didahulukannya. Di sisi Allah, roh tergantung antara langit dan bumi dek penangan hutang yang gagal dijelaskan.

Dalam urusan pilihanraya, ia benar-benar mencabar jiwa. Pengarah Pilihanraya (peringkat PAS) sebenarnya mereka yang jaguh dalam bidang teknikal. Saya awal-awal angkat tangan dan bendera putih. ia tidak boleh di ambil mudah. Sebagai contoh, kerja-kerja PACA (Polling Agent dan Counting Agent) adalah tentera terakhir di medan pengundian. Gagal mereka boleh dianggap gagallah peperangan itu. Dalam banyak kali pesanan ini, ramai juga yang mengambil mudah dengan tidak mengambil borang 14 (borang penjumlahan undi) yang menyebabkan banyak saluran terpaksa disedekahkan ke pihak lawan. Ia sebenarnya mudah, tetapi diambil mudah oleh kita.

urusan pengangkutan, perayu undi, petugas bangsal panas (sekarang diharamkan), keselamatan dan lain-lain semuanya memainkan peranan penting. Ia menuntut komitmen dan kesabaran tinggi. Suatu pengajaran saya dalam PRK di Bukit Gantang, apabila petugas keselamatan (termasuk saya) mengambil mudah urusan menjaga banner, menyebabkan banner yang digantung semalamannya habis dicuri dan ditebas orang.

Begitulah pentingnya soal bekerja secara serius dalam jemaah, bukan ambil mudah. Memudahkan amat perlu tetapi jangan pula diambil mudah semua perkara. Saya kongsikan buat tatapan pembaca budiman secara praktikal dan pengalaman saya yang sedikit ini. Sebenarnya banyak lagi contoh yang boleh dititipkan tetapi cukup sekadar di atas untuk panduan kita bersama.. Permudahkanlah, tetapi jangan mengambil mudah!

Tuesday, May 5, 2009

AHLI PAS: BERWALA'LAH! KITA SEDANG DIPERHATIKAN.

Saya sedang membaca, menelaah dan memerhatikan gelagat pimpinan dalam PAS yang agak sedikit terikut-ikut arus media serta musuh politik yang mahu mengucar-kacirkan PAS. Bagi mereka, kocakan kecil dalam cawan antara sesama ahli dan pimpinan tidak memadai. Mereka mahu ia membadai, membarah sehingga menyebabkan runtuhnya jemaah PAS. Di akhir nanti, yang mengutip bnuah keuntungan ialah UMNO dan Barisan Nasional.

Saya bersetuju memerangi musuh dalam selimut, tidak kirapun apa warna pakaiannya. Dan saya berpihak kepada ketulenan jemaah yang bernama PAS. Saya selamanya tidak mengizinkan ada satu pemikiran yang dibawa dari luar, meminjamkannya ke dalam PAS dengan meracun seluruh urat nadi dan kerangka pemikiran PAS. Saya sayangkan PAS, menganggapnya jemaah Islam penyambung perjuangan Nabi SAW yang diasaskan rangka tubuhnya oleh Imam Hassan al Banna. Bagi saya, jemaah lain mempunyai citra tersendiri yang wajar satu sama lain saling hormat menghormati. Tetapi saya amat benci manusia hipokrit yang bercakap soal baiah dan wala' kepada jemaah hakikatnya, mereka bertuankan jemaah asal mereka. Mereka menyelinap ke dalam PAS sekadar untuk meneraju serta mengubah haluan perjuangan dari asal kepada sesat. Mereka hanya mahu diri dan jemaah asal mereka diiktiraf, bukan PAS.

Dalam keadaan demikian, saya bersetuju memerangi musuh Islam ini selain yang ada berselerak diluar. Tetapi saya kesal melihat telatah pimpinan yang saling tuduh menuduh, serta saling berbalas tembakan di hadapn lensa kamera media massa. Saya kecil hati melihat pemimpin ini secara zahirnya bercakaran menegakkan pendapat dan pendirian mereka. Sehingga kini blog dijadikan senjata membunuh dan meledakkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh.

Jauh dari itu, saya sedih Presiden PAS keseorangan ketika ini. Sudah ada yang jahat tangan membubuh nila pada imej Presiden. Di manakah wala' kita selama ini? Sudah hilang percayakah kita kepada prinsip keberkatan dalam jemaah, bahawa wala' dan taat merupakan kunci kejayaan PAS?

Saya setuju dikatakan Presiden PAS bukan seorang maksum. Boleh ditegur dan dimuhasabah. Tetapi jangan mengaibkannya di khalayak. Kenapa perlu dalam ucapan rasmi menghentam seorang Amir kepada jemaah ini? Kenapa gunakan blog untuk menghina dan menelanjangkan seorang demi seorang pemimpin PAS? Kedua-dua pemimpin PAS, Presiden dan Mursyidul Am PAS adalah tokoh kesayangan saya. Sedih melihat kedua-dua mereka dijadikan objek untuk hentam-menghentam. Manakala wujud sepuak lagi untuk menghukum kedua-duanya serta kumpulan kedua-duanya.

Untuk menghukum pihak bersalah, kenapa perlu digunakan dengan cara yang salah? memburu jenayah dengan melakukan jenayah. Kita tidak akan ketemukan pihak yang benar dengan cara ini.

Saya tahu mainan siapa ini. Inilah skrip yang dilakonkan oleh manusia jahat seperti saya maksudkan di atas (musuh dalam selimut jemaah). Ini juga mainan oleh manusia jahat diluar sana yang mahu PAS digoyangkan sekuatnya. Supaya dilihat PAS sama macam UMNO. Supaya dilihat jemaah PAS bukan tulen, kerana masing-masing sibuk merebut ghanimah dan kuasa. Nanti yang ditonjolkan baik dan sempurna adalah 'jemaah' mereka. Mereka berukhwah dengan penuh takzim, tidak ada pergeseran, semuanya di atas landasan syura dan sebagainya. Inilah objektif mereka.

Ahli PAS, kembalilah kepada landasan perjuangan Islam sebenar. Wala' lah dengan kepmpinan kita. Sabarlah dengan ujian dan patuhlah dengan segala keputusan jemaah, kendatipun keputusan ini melambatkan kemenangan kita. Ingatlah, kejayaan bukan beerti kita berkuasa, tetapi kejayaan sebenar adalah menurut perspektif Allah. Perlu apa kita tanyakan bilakah kejayaan itu akan muncul sedangkan itu hak Allah. Bekerjalah. Sudah puas dan jemukah dengan pekerjaan sedikit kita? Jangan terlalu banyak komen, kerana komen yang banyak tidak melancarkan kerja. Belum terlambat untuk kita bersatu. Manakala manusia yang bertopeng ayam, insaflah. Kami tidak memerlukan idea canggih anda. Kami menerima anda dengan mahar keikhlasan anda. Kami tidak akan menghukum anda, kerana kelak Allah swt sahaja yang menyaring perjuangan ini.

Rakyat kini sedang memerhatikan kita. Tonjolkan buah yang manis untuk dimakan, jangan lontarkan kembali batu yang mereka lemparkan. Insyallah, kejayaan sedang menuggu kita kerana Allah tidak pernag memungkiri janjiNya!

Monday, May 4, 2009

BERTARUNG DENGAN KEMATIAN: MASIHKAH KITA TIDAK INSAF?

Sesekali duduk melengung, teringat kepada sakaratul maut yang wajib menimpa semua manusia. Bila teringat perkara ini, mulalah meremang bulu roma mengingatkan kita semua akan menempah maut dan dimuatkan dalam keranda untuk diusung.

Memang sejak kecil atau sejak saya akil baligh, mengenang saat kematian sentiasa menghantui jiwa. Kadang-kadang sebelum tidur pasti teringatkan giliran saya yang berada di dalam kesakitan maha dahsyat itu. Terbayang-bayang bagaimana seorang insan kerdil seperti saya, yang bergelumang dengan dosa dapat bertahan dengan iman senipis kulit bawang ini. Saya cemas terfikirkan malaikat maut merenggut nyawa ibarat menarik akar kayu yang tersimpan di bawah tanah.

Dalam pada itu, masih juga insan seperti saya lupa kematian. Ingat kematian pada waktu-waktunya, tetapi banyak masa lalai dan alpa diselaputi dunia. Bila diserang sakit-sakit sikit seperti demam, pening kepala, sakit kaki, perut dan lain-lain mulalah teringat bagaimana kesakitan ini membawa kepada maut. Saya sering juga teringat sakit sedikit ini dibandingkan dengan kemuncak kesakitan, iaitu maut! Tidak terperi rasanya, tetapi telah dialami oleh jutaan bahkan billion manusia, termasuk para Nabi.

Agak hairan bagaimana insan yang telah berusia separuh abad, bahkan lebih dari itu, dalam menjangkau 60 tahun masih ada kudrat dan nafsu mengejar jawatan. Ada yang sanggup merasuah, menipu, menindas, melobi hanya semata-mata mengejar nikmat yang dikecap sementara cuma. Yang mahu mengejar kuasa, menjadi menteri, Perdana Menteri dan kabinet yang lainnya, berapa lama mereka bergentayangan dengan kuasa. setakat sepuluh tahun kemudian pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya. Tiada apa yang dibawa melainkan bekal amal dan juga tanggungjawab yang pasti dipersoal. Saya hairan masih mereka mengejar habuan itu semua, dan melupai mati tatkala maut bila-bila masa menjemput mereka.

Lainlah kalau jawatan yang dikejar itu adalah amanah dari Allah, atau kehendak jamaah. Itu bukan atas kehendak kita. Mendapat jawatan untuk menunaikan hak terhadap Allah dan RasulNya, mendirikan Islam. Perkara ini disebut jihad. Berjihad tidak ada had umur dan masa. Sesiapa juga yang mampu hendaklah berjihad, dan suasana kita hari ini, mengejar kuasa adalah salah satu jalan jihad. Syaratnya bertaqwa kepada Allah serta mengejar jawatan adalah atas perintah jamaah, bukan mencari sendiri!

Orang sebegini sebenarnya lebih bersiap untuk mencari akhirat daripada dunia. Meskipun nampak seakan dunia yang dikejar (jawatan dan kuasa), hakikatnya mereka mencari redha Allah dan mematlamatkan akhirat. Contohnya adalah YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Seumur hidupnya tidak pernah termimpikan mendapat kuasa. Dan apabila mendapat kuasa, ditunaikan seamanah mungkin tanpa sepicing pun ada rasa keinginan terhadap dunia. Alangkah mulianya mereka yang seperti ini.

Saya merasa pelik, di kala zaman menuju ke akhirnya, masih lagi insan mengejar maksiat. Maksiat dijadikan tuhan sembahan manakala ibadat dibuang sejauh mungkin. Usia telah hampir tempoh tamat tetapi masih seronok bergelumang dengan dosa. Saya hairan setelah pencen bertahun masih lagi ada hati manusia ini membina mahligai bernilai jutaan ringgit, di atas puncak bukit. Untuk siapakah nikmat ini semua?

Sedangkan mereka tahu ramai sahabat handai saudara mara seangkatan mereka satu demi satu dijemput Allah swt, yang ada sebenarnya sedang menunggu giliran yang hampir sampai. Saya terasa tertekan walaupun dalam usia setengah umur Nabi Muhammad saw ini, apabila melihat seorang demi sorang saudara mara pergi mengadap Ilahi! Pergi pula dalam bermacam keadaan. Ada yang tragis, ada yang mengejut, ada yang menderita lama dan sebagainya. Nampak sangat kita manusia ini pelupa! Membina mahligai hanya untuk dinikmati generasi kemudiannya, dan kemungkinan mahligai itu tersadai sebegitu rupa kerana anak-anak sibuk membina kehidupan sendiri di merata-rata tempat. Siapa yang akan miliki mahligai itu nanti?

Saya musykil ramai lagi dari kalangan kita yang sedang enak bergelak ketawa, sedangkan dalam waktu yang sama ramai kalangan kita yang sedang bertarung dengan kematian. Memang kehidupan ini indah tetapi kita lupa bahawa bandingannya dengan akhirat, hampir-hampir tidak menyamai dengan sebelah sayap nyamuk. Selalu saya berpeluh sendirian apabila mengenangkan bermacam-macam penyakit yang dideritai manusia. Yang paling ditakuti adalah barah, kerana dalam masa beberapa bulan sahaja ia mampu memakan daging dan darah sehingga kita menjadi mayat sekelip mata. Lain-lain, sakit jantung, kencing manis, buah pinggang, ghout, stroke, darah tinggi- semuanya berstatus heavyweight! Saya mendapat makluman kematian orang-orang terdekat, dan bagaimana tersiksanya mereka dengan penyakit-penyakit itu. Moga Allah menempati mereka dengan keampunan dan disisi orang Soleh.

Kadang-kadang bila melawati hospital, saya merasakan diri yang sihat tiba-tiba menjadi sakit apabila melihat orang sakit. Alangkah sukarnya kehidupan mereka, sedangkan suatu waktu dulu mereka juga bergelak ketawa macam saya. Terbayang-bayang bagaimana kalau saya menjadi mereka.

Dalam keadaan begini masih lagi kita berseronok membina kehidupan. Yang suka melancong, pergi pusat hiburan, berfoya-foya, melepak di kedai kopi, seolah-olah mereka mampu hidup seribu tahun lagi. Alangkah lupanya kita kepada hari perpisahan itu.

Sesekali apabila mengetahui bencana menimpa disuatu tempat, alangkah takutnya rasa diri. Saya masih teringat peristiwa Tsunami tahun 2004 yang melanda Acheh. Inilah bencana terburuk dalam sejarah, dan ia berlaku hampir-hampir di tempat kita diami sekarang. Kita masih lagi rasa selamat kerana ia tidak berlaku ke atas aku! Bila melihat mayat bergelimpangan, sayunya rasa hati. Bayangkan saya sedemikian, diperlakukan seperti sampah - disodok dengan jentera dan dimasukkan ke dalam lubang kubur yang besar. Berakhir sudah kisah kehidupan yang tidak diceritakan. Mati mengejut sebegitu. Alangkah takutnya rasa hati. Tiba-tiba maut mengejut. Apakah persiapan aku?

Apabila menelek akhbar serta media dan mendapat cerita kemalangan ngeri dan maut. Alangkah takutnya rasa, seperti menggigil kepala lutut. Saya terfikirkan dalam keadaan bergelumang dengan dosa saban hari tiba-tiba nyawa direnggut malaikat maut. Hutang pula berkeliling pinggang. Tidak tercatat pula. Siapa yang akan bayar dan bagaimana akan dibayar? Selamatkah aku?

Bila terfikirkan begini rasa-rasanya tidak mahu lagi bercakap lagha. Tidak ada lagi cita-cita mengejar kehidupan dunia. Malas nak berebut jawatan di peringkat kawasan dan negeri. Rasa-rasanya ingin sahaja memenuhi setiap masa di masjid, kalau tidak pun beramal dan berzikir sepanjang hari. Tidak ada sifat mazmumah, jauh sekali hendak berbohong, mengumpat, mencela, mencuri dan lain-lain. Ingin rasanya saya melangsaikan hutang sesegera mungkin, tetapi apakan daya.

Usia kita berbaki beberapa minit, ingatlah dan ingatkan diri saya untuk terus ingat kematian. Kerana mengingati mati adalah senjata paling ampung menundukkan kesombongan dan kezaliman. Biarlah hidup sebagai tentera di jalan Allah yang hanya menunggu perintah daripada bergelut merebut kuasa! Saya hanya ingin mati di jalan Allah sebagai insan biasa yang dinagkat sebagai syuhada di sisi Allah...

Monday, April 13, 2009

SEGALANYA BERMULA DENGAN USRAH..

Kita sering mendengar kalimat dalam jemaah Islam, Usrah adalah tunjang gerakan Islam. Usrah adalah sendi kekuatan jemaah. Benarkah demikian? Apakah hipotesisnya kita berkata demikian.

Banyak tempat dan organisasi beramal dengan Usrah. Saya sendiri jalani Usrah sejak beberapa lama. Pandangan mata kasar semacam tiada kesan apa pun. PAS menang di beberapa tempat, termasuk di kawsan saya sendiri dengan pengundi yang ramai tanpa usrah pun. Bahkan penggerak PAS di kawasan-kawasan ramainya bukan mereka yang ahli dalam Usrah. Ramai juga yang tidak pernah hadir Usrah. Menang juga PAS.
Jangan terpedaya dengan analogi liar saya di atas. Hakikatnya saya sendiri tidak bersetuju dengan pandangan saya di atas. Saya sebenarnya masih percaya bahawa kemenangan Islam dan PAS di Malaysia ada kaitan dengan Usrah. Tetapi bagaimana?
Memang benar, saya mengakui PAS adalah tunjang kekuatan Islam. Usrah adalah nadi kepada tarbiyah, dan tarbiyah adalah urat yang mengalirkan darah kepada jemaah (PAS). Tanpa tarbiyah kita mirip seperti UMNO atau PKR. Tanpa usrah tiada siapa yang sanggup membanting tulang menggerakkan jemaah secara percuma. Hanya sebabnya ada Usrah. Walaupun yang memenangkan PAS adalah khalayak terbanyak dari kalangan rakyat dan pengundi, tetapi yang menjadi tulang belakang dan tulang depan adalah mereka yang ahli usrah. Percayakah anda?
Saya lalui sendiri perkara ini. Memang didapati penyokong itu ramai, tetapi umpama buih di kala banjir. Mereka hadir dan pergi begitu sahaja. Bila ada program besar datang. Bila diharapkan bantuan mereka tidak hadir. Bila menang sorak dan hadir menghulur bantuan. Bila kalah hilang ghuyup entah ke mana. Puncanya kerana mereka tidak faham. Punca tidak faham kerana tidak hadir usrah. Mereka tidak kenal erti pengorbanan, kesabaran, iltizam, ijtimai’, intima’ wala’, baiah dan pelbagai konsep dalam jemaah.
Dalam kepimpinan pun begitu, Ada yang dipilih dalam mesyuarat Agung atau Muktamar, tetapi kurang faham. Puncanya kerana tidak hadir usrah. Ia seperti kertas. Nampak keras tetapi direndam dalam air lembik. Begitulah umpama mereka yang tidak hadir usrah. Nampak keras berapi-api dalam ucapan. Nampak bersemangat dan jalankan kerja. Tetapi melangkah setahun kemudian, kelibatnya tiada lagi. Kehadirannya corot. Mereka tidak tahan berjemur dengan keringat keletihan lama dalam perjuangan. Mereka tidak sabar dengan lamanya masa untuk menang! Lama kelamaan mereka benar-benar hilang, ditelan arus dunia yang suatu waktu dulu dicemuhnya. Puncanya, kerana tidak hadir usrah.
Saya pernah bertemu dengan organisasi yang mantap. Dilihat jauh begitu gah dan kukuh. Punya ramai ahli. Pemimpinnya pula bukan sebarangan. Tahap ‘silinglah’ kata orang. Ada PHD, ada Ir, ada peguam dan lain-lain. Tetapi tersiratnya mereka berantakan. Bergaduh sesama sendiri. Tuduh menuduh, jatuh menjatuh, hilang wala’ dan thiqah, cantas mencantas, mengadu domba, berebut jawatan, wujudkan kem. Puncanya kerana hilangnya ukhwah dan kasih sayang. Puncanya lagi adalah kerana lama sangat mereka tinggalkan usrah. Usrah menjana ukhwah dan ukhwah mengikat organisasi semantapnya, Inilah yang mereka lupakan.
Saya bertemu juga dengan sebuah organisasi. Tidak terkenal dan agak corot juga. Ahlinya tidaklah hebat. Pemimpinnya pun orang biasa dan kebanyakan. Tetapi tersuratnya mereka sangat menjaga disiplin jemaah. Segalanya dibincang dalam mesyuarat atau usrah. Hal keluarga ppun dibincang dalam usrah. Mereka dilihat sangat tekun dan rajin, ikhlas dan setia, wala’ dan sangat menjaga lidah dan perilaku mereka. Rancangan mereka hebat, dan dilaksanakan dengan penuh cermat, mengikut arahan dan agenda. Rupanya mereka berusrah setiap minggu. Kalau ada yang sakit mereka ziarah. Kalau ada yang kesusahan mereka pakat-pakat kongsi keluar duit membantu. Kalau ada kenduri mereka pakat bergotong-royong. Kalau yang bujang dicarikan jodoh sesama mereka. Hebatnya mereka kerana ukhwah. Hebatnya ukhwah mereka kerana ada usrah. Tanzim mereka diikat kemas. Walaupun mereka tidak dikenali dalam persada politik, hakikatnya mereka bahagia menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah.
Inilah hebatnya yang dinamakan usrah. Walaupun ada yang berkata tidak ada perubahan apa-apa selama bertahun mereka sertai usrah, percayalah sebenarnya telah ada perubahan. Kalau dulu kita tidak faham perjuangan, sedikit sebanyak kita faham erti perjuangan. Kalau dulu kita bersikap individualistik, sekarang dengan usrah kita memikir secara jamaie. Kalau dulu kita kedekut, dengan usrah kita menjadi pemurah. Kalau dulu kita tiada hala tuju, dengan usrah kita punya matlamat. Kalau dulu kita berseorangan, dengan usrah kita ramai sahabat dan keluarga. Kalau dulu kita bergelumang dengan maksiat, dengan usrah kita belajar menjadi taat. Kalau dulu kita tidak peduli soal jamaah, sekarang kita tahu segala masalah dalam jemaah.
Begitulah peranan usrah. Selama bertahun yang beramal dengannya, sebuah kawasan yang kecil dan biasa akan berkembang dengan banyaknya. Boleh dikatakan usrah menjadi sebab pertolongan allah melembutkan hati-hati pengundi. Saya impikan supaya usrah dijadikan batu asas : “segalanya bermula dengan usrah”. Bukannya dijadikan matlamat: ‘ akhirnya kita kembali kepada usrah’.
Kalau segalanya bermula dengan usrah, ertinya setiap sesuatu dirancang di dalam usrah. Ada maslaha dibincang di dalam usrah. Nak berhenti kerja dibincang dalam usrah. Ada masalah kesihatan juga dibincang dalam usrah. Nak merancang aktiviti juga dalam usrah. Segalanya-galanya bermula dengan usrah.
Tetapi sebaliknya, kalau dijadikan tagline : “akhirnya kita kembali kepada Usrah”. Macam merujuk kepada keputus asaan setelah gagal serba-serbi barulah nak mencari usrah. Usrah dijadikan alat setelah gagal atau kalah dalam sesuatu. Ini yang saya tidak mahu berlaku dalam jemaah.
Apapun harapnya biarlah usrah dijadikan asas gerakan Islam. Dan sekali lagi yang saya mahukan adalah... “segalanya bermula dengan usrah”.

Wednesday, April 8, 2009

INDAHNYA ISLAM

Maka beruntunglah orang-orang yang bersama dengan perjuangan Islam. Bagi orang yang berada di luar dari jalan perjuanagn ini atau yang tidak mempunyai fikrah jemaah islam, pasti merasakan segala amalan dan perbuatan yang kita lakukan sia-sia belaka. Tidak mendatangkan hasil apapun hatta dipandang rendah dan membuang masa. Melainkan mendapat imbuhan yang banyak atau setimpal dengan usaha. Ya!! Kami dapat habuan kami. Malahan lebih banyak daripada itu.. Tapi bukan dibumi yang fana ini, tetapi di akhirat yang kekal abadi. Insyaallah. Apa yang penting kita hanya berdoa dan yakin dengan sebenar-benar yakin bahawasanya Allah tidak mensia-siakan kita. Allah tidak akan lupa akan janjinya. Jika kita bantu agama Allah, nescaya Allah akan bantu kita.

Biarlah susah hidup di dunia ini, demi menegakkan agama Allah. Insyaallah Janji Allah itu pasti datang.... berusahalah untuk mendambakan nikmat yang lebih besar dariNya. Iaitu syurga yang kekal abadi.

Dibumi Malaysia ini hanya sedikit ujian yang kita terima (berperang dengan puak UMNO) jika nak dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Palestin. Siang malam hidupnya sama, ditemani dengan dentuman bom dan bedilan peluru dari puak yahudi laknatullah. Kita pula siang malam penuh dengan hiburan. Semua media tidak ada modal lain bagi meraih keuntungan. Itu jualah propaganda dan pengaruh dari puak yahudi. Mereka suka jika umat Islam tidak ada masa untuk memikirkan saudara-saudara Islam, mereka gemar kita tidak memikirkan bagaimana nak menegakkan negara Islam, mereka gembira jika umat Islam mengagung-agungkan artis daripada ulama.

Bagaimanakah nasib anak-anak kita kelak??? Sistem sekular yang telah sekian lama dipraktikkan dalam pendidikan tidak dapat menanamkan semangat jihad di kalangan masyarakat. Akhirnya bila dewasa kelak, anak-anak islam ini lebih gemar beridam diri daripada menentang. Takut nanti dikata pemberontak. takut nanti dikata pengganas. Takut nanti dikatakan penderhaka. Semuanya takut. ... Walhal anak-anak orang kafir di Amerika, UK, Australia dididik agar berani bersuara seawal 3 tahun lagi. Mereka diajar berfikiran kreatif dan menyatakan pendapat mereka sendiri.

Bersama-samalah kita berdoa akan datangnya pertolongan Allah sebelum orang-orang yang zalim menganiaya orang-orang Islam. Semoga adalah pemuda-pemuda, pemikir-pemikir, para ulama dapat menewaskan puak-puak yang zalim di negara kita ini. Takbir!!!! Allahu Akbar..

"Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan agamaNya) dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Al-Baqarah : 244